Perbanyak pembinaan empangan bagi kawal banjir

0

KUNJUNGAN PERAYAAN: Dawos merakam kenangan bersama para pengunjung terdiri daripada ahli Dewan Masyarakat Siburan pada majlis rumah terbuka Hari Gawai di kediamannya kelmarin.

Kerajaan negeri harus pertimbang bina lebih banyak empangan, kawasan takungan air bagi tujuan ini

KUCHING: Kerajaan negeri harus mempertimbang untuk membina lebih banyak empangan dan kawasan takungan air bagi mengawal bencana banjir.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri James Dawos Mamit berkata amat penting bagi seluruh rakyat khususnya di negeri Sarawak mengetahui kepentingan penyediaan empangan serta kawasan takungan air bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan harta benda sehingga berbilion ringgit akibat banjir.

“Purata hujan yang turun telah meningkat kepada 40 peratus sejak 40 tahun lepas disebabkan kesan aktiviti manusia seperti pembalakan serta perindustrian yang mengakibatkan perubahan iklim,” ujar Dawos ketika ditemui sewaktu mengadakan rumah terbuka sempena Hari Gawai di kediamannya di Taman Stutong Indah kelmarin (Sabtu).

Menurutnya Sarawak kini mempunyai tiga empangan hidroelektrik iaitu di Bakun, Batang Ai dan Murum sementara Empangan Bengoh berperanan sebagai simpanan bekalan air untuk penduduk di sini.

“Saya akan menggesa kerajaan negeri untuk membina lebih banyak empangan sama ada untuk hidroelektrik atau kawasan takungan air jika mereka mempunyai peruntukan.

“Penyediaan empangan sebegini amat penting supaya ia dapat membantu mengawal limpahan air sewaktu hujan lebat sehingga beberapa hari,” tegasnya.

Dawos memberitahu bahawa beliau sekarang sedang mengadakan kajian terhadap sungai di kawasan Baram bagi mengetahui punca terjadinya sesuatu bencana banjir serta kesan-kesannya terhadap alam sekitar dan penduduk di sekelilingnya.

“Saya sendiri sedang melakukan kajian di kawasan Baram untuk mengetahui bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim semasa dalam usaha mengawal bencana banjir seterusnya mengelakkan kehilangan nyawa dan harta benda,” jelasnya.

Sementara itu beliau turut memberitahu bahawa kritikan oleh pihak barat mengenai aktiviti pembalakan di negeri ini telah menghapuskan habitat semula jadi adalah tidak berasas kerana kerajaan telah berusaha mengadakan penanaman ladang pokok kelapa sawit sebagai ganti yang terbukti mampu menyerap lebih banyak dan pantas gas karbon dioksida berbanding tanaman lain.

“Telah terbukti melalui kajian bahawa pokok kelapa sawit adalah lebih berkesan untuk menyerap gas karbon dioksida dengan pantas dan banyak berbanding tumbuhan lain.

“Kerajaan juga telah mengadakan hutan simpan khas bagi pemeliharaan serta pemuliharaan habitat flora dan fauna agar tidak diganggu oleh aktiviti pembalakan,” kata Dawos.

Beliau memberitahu, hutan di sini telah menyerap sebanyak 31 peratus gas karbon dioksida daripada 200 juta tan yang dikeluarkan setiap tahun.

“Jika dibandingkan dengan negara China dan Amerika Syarikat yang mengeluarkan lebih 60 peratus daripada sembilan juta tan pengeluaran gas karbon dioksida di seluruh di dunia pada setiap tahun, negara kita hanya mengeluarkan 0.6 peratus daripada jumlah tersebut,” jelas Dawos.