Perpaduan kaum harus dikekal wujudkan persefahaman, keharmonian masyarakat

0

DEBAK: Perpaduan kaum yang telah dipupuk sejak sekian lama harus dikekalkan dalam mewujudkan persefahaman dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong Mohd Dohan Wahid berkata perpaduan dan keharmonian kaum mesti diperjuangkan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kedudukan mahupun bangsa dan agama mereka.

“Dalam mewujudkan masyarakat bersatu padu, kita perlu bertolak ansur dan menghormati pegangan agama dan adat resam orang lain, kerana ia merupakan inti pati merintis ke arah perpaduan kaum.

“Pemimpin masyarakat pula disaran agar sentiasa berpandangan jauh serta merangka program yang dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan agama dengan harapan perpaduan dan sikap toleransi antara kaum sentiasa subur,” katanya pada Program Karnival Sukan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Babu Hulu Debak di Dewan LAKID, Debak.

Katanya kita cukup berbangga kerana pelbagai persatuan telah mengambil inisiatif untuk terus menyuburkan perpaduan di negara ini.

Beliau berkata usaha mengekalkan perpaduan perlu kerjasama semua pihak sama ada kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

“Golongan sasaran harus ditumpukan kepada kaum remaja yang merupakan generasi pemimpin masa depan kerana kegagalan menyemai semangat kekitaan menyumbang kepada keruntuhan nilai sosial dan akhlak di kalangan generasi muda,” katanya.

Hadir sama Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Betong Mujahid Mohamad, Penghulu Abang Kifrawi Abang Rukaili, Pengerusi KRT Babu Hulu Debak serta ahli-ahli KRT.

Dalam pada itu, karnival itu disertai sembilan KRT di kawasan Debak termasuk KRT Kampung Melayu Dit, Debak Laut Hilir, Debak Laut Hulu, Kampung Babu Hulu, Kampung Babu Hilir, Kampung Bungey Hulu, Kampung Bungey Hilir, Kampung Lalang Hulu dan Kampung Lalang Hilir.

Sementara itu, karnival itu turut dimeriahkan dengan pertandingan bola sepak veteran, bola sepak wanita, bola sepak kanak-kanak, bola sepak belia, sukaneka, tarik tali dan acara kanak-kanak.