1,738 baucar BR1M kawasan Miri masih belum dituntut

0

MESRA RAKYAT: Lee (dua kanan) bertanya sesuatu dengan seorang penerima BR1M semasa lawatannya di Pejabat Daerah Miri, baru-baru ini.

Penerima boleh tuntut baucar di Pejabat Daerah Miri, termasuk mereka yang pernah membuat rayuan

MIRI: Kira-kira 1,738 baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi kawasan Miri masih belum dituntut oleh pemohon yang layak termasuk permohonan yang sebelum ini ditolak atas alasan tertentu.

Menteri Muda Perhubungan Datuk Lee Kim Shin berkata semua penerima boleh menuntut baucar masing-masing di Pejabat Daerah Miri dan ini termasuk bagi mereka yang pernah membuat rayuan.

“Saya menasihati semua pemohon yang pernah membuat rayuan supaya menyemak status permohonan rayuan masing-masing dan jika rayuan mereka diluluskan, maka datanglah menuntut baucar BR1M,” katanya di sini semalam.

Lee yang juga Menteri Muda Sukan memaklumkan bahawa sejumlah 1,738 baucar bagi penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin, Pujut dan Piasau masih belum menuntut baucar masing-masing.

“Bagi pengagihan peringkat pertama, sejumlah 421 orang belum menuntut BR1M RM250 (individu bujang), manakala 114 orang pula bagi penerima BR1M RM500 untuk ketiga-tiga DUN,” ujarnya.

Lee berkata, pengagihan peringkat kedua pula mendapati kira-kira 551 orang (penerima RM250) dan 337 orang (penerima RM500) gagal menghadirkan diri untuk mendapatkan baucar mereka.

“Bagi pengagihan peringkat ketiga, seramai 67 orang dari DUN Senadin, Pujut dan Piasau masih belum menuntut baucar mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Daerah Miri semasa proses pengagihan BR1M bagi kawasan Miri, baru-baru ini.

Lee yang juga ADUN Senadin memberitahu, bagi pemohon yang layak tetapi berada di luar kawasan Miri, mereka boleh menuntut baucar masing-masing di tempat mereka berada sekarang.

“Ini bermaksud jika pemohon menggunakan alamat surat menyurat di Miri tetapi mereka bekerja di luar kawasan Miri, maka penerima ini boleh mengemukakan surat untuk menuntut baucar terbabit.

“Surat terbabit hendaklah dihantar ke Kementerian Kewangan supaya baucar terbabit boleh dituntut oleh penerima di kawasan mereka berada sekarang atau pejabat daerah berdekatan,” tegasnya.

Seramai 248 penerima yang berada di luar kawasan Miri dinasihati agar menghubungi Pejabat Daerah Miri untuk keterangan lanjut tentang cara mendapatkan baucar terbabit.