Kerajaan beri perhatian kebajikan rakyat Sabah

0

KOTA KINABALU: Kebajikan masyarakat di Sabah khususnya di kawasan Karambunai akan diberi perhatian sepenuhnya oleh kerajaan, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Beliau berkata program memperkasakan kebajikan itu akan diperkenalkan di kawasan Karambunai sebelum diperluaskan ke seluruh Sabah.

“Tujuan program ini adalah untuk memastikan mereka yang benar-benar layak menerima bantuan daripada pihak kebajikan dan perlu mendapat pengesahan dan kerjasama daripada anggota komuniti setiap kawasan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat Pembangunan dan Penyediaan Perkhidmatan jabatan dan agensi negeri di bawah kementeriannya di Wisma Wanita, dekat sini semalam.

Dalam hal ini, Jainab bertekad meningkatkan as-pek kebajikan selain membantu masyarakat keluar dari belenggu kemiskinan.

Mengenai bantuan kebajikan yang beliau sifatkan sebagai sementara dan bukan bantuan seumur hidup, beliau berkata golongan yang layak perlu mendapat pengesahan daripada pihak jabatan kebajikan terlebih dahulu.

“Mereka yang mendapat bantuan perlu melaporkan diri sekurang-kurangnya tiga bulan sekali sebagai bukti mereka masih hidup dan memperbaharui permohonan sebelum tamat tempoh.

“Namun pihak kebajikan juga akan melihat permohonan tersebut sama ada layak untuk menerima semula bantuan atau tidak kerana terdapat pemohon yang mempunyai anak yang bekerja,” katanya.

Menurut Jainab, sekiranya mereka masih ingin memohon bantuan, mereka boleh memohon melalui Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Majlis Daerah untuk menyertai program di bawah 1Azam. — Bernama