Penduduk terkejut diberitahu miliki saham syarikat bot karam

0

TIDAK SANGKA ADA SAHAM: Lee keluar dari bot ekspres Bakun Mas 40. Pemilik kedai runcit ini terkejut apabila diberitahu mempunyai ‘saham nominal’ dalam syarikat pengendali bot ekspres yang karam baru-baru ini. — Gambar Bernama

BELAGA: Sejak hari pertama tragedi bot ekspres Kawan Mas karam di Giam Bungan, Sungai Rajang, dekat sini Selasa lepas, kelibat Sebastian Lee Tiang Shuy sering dilihat di lokasi bot karam dan semasa taklimat operasi mencari dan menyelamat setiap malam di Pejabat Daerah Belaga.

Lee yang merupakan penduduk Belaga juga tidak ketinggalan menyumbang barang makanan dan bot un-tuk pengangkutan pasukan mencari dan menyelamat berulang-alik ke lo-kasi kejadian dan pusat operasi di sebuah pulau di tengah Sungai Rajang.

Namun semalam, Lee, 45, pemilik kedai runcit di Bazar Belaga terkejut apabila diberitahu dia mempunyai ‘saham nominal’ dalam syarikat pengendali bot ekspres itu selepas enam hari nahas itu berlaku.

Bercakap kepada pemberita di sini, katanya dia hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pemilik syarikat bot ekspres itu yang berpejabat di Sibu dikenali sebagai Tauke Wong.

“Dia dah faks senarai pemegang saham dalam syarikat itu… itu ‘share’ jika  diikutkan bapa saya punya, saya punya pun (saham) sikit saja,” katanya dan menurutnya dia mungkin tidak mengetahui memiliki saham dalam syarikat itu kerana nilainya tidak terlalu banyak.

Lee berkata mungkin motif syarikat itu menghantar senarai pemilik saham bagi meminta pemilik saham membuat laporan polis berhubung tragedi itu.

“Mungkin Tauke Wong mahu saya pergi buat laporan polis berkenaan tragedi ini… saya rancang mahu pergi jumpa Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau untuk maklumkan dia mengenai perkara ini,” katanya.

Mengenai sama ada Tauke Wong ada datang ke lokasi kejadian, Lee berkata pemilik syarikat bot itu tidak datang dan tugas itu diserahkan kepada seorang lelaki dikenali sebagai Ah Seng. — Bernama