Perdebatan di Dewan Rakyat pada 24 Jun ini pasti hangat

0

KUALA LUMPUR: Melihat pada senarai Ahli Parlimen yang bakal bersidang pada 24 Jun ini, perdebatan di Dewan Rakyat pasti hangat dengan pihak kerajaan dan pembangkang dijangka menyambung semula ‘pertarungan belum tamat’ semasa Pilihan Raya Umum yang sudah berlalu.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 133 kerusi berbanding 89 kerusi oleh Pakatan Rakyat (PR), perbezaan 44 kerusi.

Jika ditolak 55 wakil BN yang dilantik dalam kabinet dan mengisi jawatan timbalan menteri, barisan penyokong kerajaan hanya tinggal 78 orang.

Antara muka baharu yang dijangka menjadi ‘ayam sabung’ pembangkang ialah Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan), Mohamed Hanifa Maidin (PAS-Sepang) Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu), Mohamad Idris Jusi (PKR-Batu Pahat), Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) dan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil).

Bagi pihak BN pula, tiada lagi suara lantang Datuk Mohamad Aziz, bekas Ahli Parlimen Seri Gading (tidak bertanding) atau Datuk Abdul Rahman Dahalan yang sebelum ini lantang menyerang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, setelah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Begitu juga Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang dilantik Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Khairy Jamaluddin yang kini Menteri Belia dan Sukan dan penye- laras sayap Putera MIC P. Kamalanathan yang dilantik Timbalan Menteri Pelajaran dan Pengajian Tinggi Kedua.

Bagaimanapun beberapa nama seperti Datuk Bung Mokhtar Radin (Kinabata-ngan), Datuk Seri Jamaluddin Jarjis (Rompin), Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Noh Omar (Tanjong Karang), Chua Tee Yong (Labis), Datuk Dr Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dijangka memainkan peranan sebagai pertahanan BN di Dewan      Rakyat.

Berbeza sebelumnya, tidak ada Ahli Parlimen ‘tidak berparti’ (Bebas) dipilih sebagai wakil rakyat pada persidangan kali ini.

Selain itu buat pertama kali dalam sejarah, barisan kabinet tidak mempunyai penyertaan daripada MCA dan Gerakan, selepas kedua-dua parti itu me-nolak jawatan dalam kerajaan setelah dibadai kekalahan teruk pada PRU13. — Bernama