Rantau ASEAN dan China perlu berbincang di meja rundingan

0

KUALA LUMPUR: Rantau ASEAN dan China perlu berbincang secara tidak formal bagi menyelesaikan masalah dihadapi negara-negara yang terlibat dalam konflik Laut China Selatan – daripada menggunakan provokasi dan konfrontasi.

Bekas Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik, Christopher R. Hill berkata semua negara yang terlibat harus menyedari tentang situasi ini dan mesti mengambil tindakan positif bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Saya tahu sesetengah negara menghadapi konflik mengenai maritim mereka, Jepun juga menghadapi konflik dengan Korea Selatan mengenai isu maritim tetapi ia harus diselesaikan menerusi diplomasi – berbincang secara tidak formal.

Hill berkata demikian dalam ucapannya berjudul “Kesinambungan dan Perubahan dalam Penglibatan AS dengan Asia” di Rundingan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-27 di sini semalam.

Persidangan dua hari bertema “Menstrategi Perubahan di Asia” itu anjuran Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa (ISIS), Malaysia.

Ditemui Bernama kemudian, Hill yang juga Dekan Josef Korbel School of International Studies, di Denver University, AS, berkata sebuah daripada kuasa terbesar di dunia, China perlu lebih sensitif dalam isu berkenaan dan lebih bertoleranasi.

Beliau berkata rundingan tidak formal yang kerap adalah lebih berkesan kerana pendapat dan masalah boleh dibincang dan diselesaikan bersama.

“Saya percaya rantau Asean boleh memain peranan penting dalam isu-isu ini…Saya tahu China mempunyai dasar mereka mengenai Laut China Selatan dan Rantau Asean.

“Dalam situasi begini perbincangan tidak formal adalah cara terbaik menjaga hubungan antara negara-negara ini,” kata beliau.

Brunei, China, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan mempertaruh tuntutan ke atas kepulauan Spratly di Laut China Selatan, yang kaya dengan hasil galian dan sumber marin. Berikutan pertikaian itu, China dan negara-negara anggota Asean menandatangani “Declaration on the Conduct of Parties in the South China Sea (DOC)” (Deklarasi Tata Cara Pihak-pihak terlibat di Laut China Selatan) pada 2002 – dokumen politik pertama mengenai isu Laut China Selatan. — Bernama