Wanita UMNO kecam tindakan pihak menghina Agong: Shahrizat

0

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di laman sosial baru-baru ini.

Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu tidak dapat menerima tindakan penghinaan oleh mana-mana pihak terhadap Seri Paduka dan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap mereka.

“Wanita sebagai ibu tidak rela melihat sesiapa pun yang memperkosakan struktur kepimpinan yang begitu cantik di negara ini, dan sesiapa yang melanggar undang-undang atau tatasusila yang sekian lama kita amalkan mestilah menghadapi risikonya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena hari ke-40 pemergian veteran Umno, Tan Sri Aishah Ghani di sini semalam.

Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia mengesan dan menahan suspek yang menghina Yang di-Pertuan Agong di laman sosial Facebooknya baru-baru ini.

Shahrizat berkata semua generasi perlu menghormati perlembagaan serta mengamalkan tatasusila dan peradaban dalam negara yang berbilang kaum ini. — Bernama