Johor kumpul dana RM23 juta untuk ambil balik tanah di Senibong: Khaled

0

JOHOR BAHARU: Kerajaan negeri Johor melalui syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) sedang mengumpul dana sebanyak RM23 juta bagi pengambilan balik tanah seluas 14 hektar di kawasan Senibong dari­pada syarikat Tebrau Teguh Berhad.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini bagi menunaikan janji kerajaan negeri di bawah bekas menteri besar Datuk Abdul Ghani Othman sebe­lum ini untuk memberikan hakmilik tanah kepada pen­duduk Kampung Senibong.

“Kerajaan memang sedang menyelesaikan permohonan yang dikemukakan penduduk kampung tersebut dan untuk itu kita sedang mengumpul dana sebanyak RM23 juta bagi tujuan ambil balik tanah bagi menyempurnakan janji kerajaan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kali ke-2 Koperasi Warisan Kampung Senibong Johor Bahru Berhad di sini se­malam.

Katanya pihak Tebrau Teguh memahami janji kera­jaan kepada penduduk kam­pung yang terlibat dan tahu memang sudah terdapat per­mohonan hak milik tanah oleh penduduk kampung semasa mengambil alih tanah yang terlibat daripada KPRJ.

Oleh yang demikian, Kha­led berharap Tebrau Teguh tidak melakukan apa-apa transaksi di atas tanah yang telah dijanjikan kerajaan itu termasuk di Kampung Ru­mah 10, Kampung Plentong, Kampung Plentong Baru dan Kampung Sri Bahagia.

Permohonan hak milik tanah di kampung-kam­pung tersebut, katanya akan menjadi keutamaan kerajaan negeri dan diselesaikan secara berperingkat.

Sementara itu, beliau memuji Koperasi Warisan Kampung Senibong kerana merancang membina sebuah pusat inap desa di kawasan itu.

Katanya, usaha itu bukan sahaja boleh menambah pen­dapatan ahli-ahli koperasi itu malah memberi kemudahan penginapan kepada orang ramai yang berkunjung ke bandar raya ini.

Menurut Khaled, kera­jaan negeri akan berusaha mengupayakan koperasi di Johor agar dapat mengam­bil peluang dalam kegiatan ekonomi yang wujud hasil pembangunan yang pesat di negeri ini.

Usaha itu termasuk pem­berian bantuan pinjaman, sokongan dan latihan agar koperasi mendapat manfaat daripada pembangunan pesat itu, katanya. — Bernama