Kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya hujung tahun ini: SPR

0

KUALA LUMPUR: Kajian persempadanan semula kawas­an pilihan raya akan bermula hujung tahun ini selepas ter­tangguh pada 2011, kata Tim­balan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata proses itu akan dilaksana secara berper­ingkat dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Sepatutnya dibuat pada tahun 2011 tetapi memand­angkan pada masa itu kami perlu menghadapi perse­diaan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), maka kami menangguhkannya hingga PRU13 selesai,” katanya melalui ceramah bertajuk ‘Pengalaman SPR dalam men­gendalikan persempadanan kawasan pada 2003, dalam seminar selepas pilihan raya anjuran Majlis Peguam Ma­laysia di sini kelmarin.

Wan Omar berkata, pihakn­ya mula mengumpul data melalui Pejabat SPR negeri dan melantik beberapa pega­wai dari Jabatan Perangkaan serta Pejabat Tanah dan Jaja­han Negeri bagi membantu kajian persempadanan itu dari segi melakar peta serta mengira jumlah populasi pen­duduk kawasan.

Beliau berkata berdasarkan Perkara 113 (2)(ii) Perlem­bagaan Persekutuan, persem­padanan semula boleh dilaku­kan selepas tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat, dan dalam kes ini, pada 2003.

Wan Ahmad berkata persem­padanan kawasan kali ini dijang­ka lebih mencabar kerana se­makin ramai akan menyatakan rasa tidak puas hati semasa hasil siasatan awal dipamer kerana mendakwa ia berat sebelah.

“Sekarang siasatan belum dijalankan pun dah ada orang yang tidak puas hati.

“Ada yang menuding jari ke arah kami dan menya­takan persempadanan itu dilakukan untuk kepentingan parti tertentu, tetapi kami melakukannya kerana dalam tempoh lapan hingga 10 tahun ini, sudah semestinya negara akan mengalami perubahan termasuk penambahan popu­lasi penduduk, urbanisasi dan pembangunan pesat.

“Bagi mengelakkannya (dituduh berat sebelah), kami berusaha melibatkan orang ramai untuk membantu kami menjalankan kajian pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata semasa kajian persempadanan yang terakhir, pihaknya mengambil masa tiga bulan sama ada untuk mem­pamer, mengubah suai dan memberi penjelasan kepada orang ramai dengan turun pa­dang ke setiap kawasan kajian yang terlibat.

Wan Ahmad berkata ray­uan semasa tempoh pameran kajian hanya boleh dilakukan oleh kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan lebih daripada 100 pemilih berdaftar tanpa sokongan mana-mana parti politik.

Bercakap kepada pemberita selepas seminar itu, Wan Ah­mad menyifatkan kenyataan pakatan pembangkang, yang menggesa beliau dan Pengeru­si SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meletak jawatan, sebagai tidak munasabah.

“Jika mereka ini merasa­kan bahawa keputusan pili­han raya itu tidak diterima, mereka boleh menfailkannya melalui petisyen pilihan raya untuk dikemukakan kepada Mahkamah Pilihan Raya seperti mana yang termaktub dalam perkara 118 Perlem­bagaan Persekutuan.

“Biar Mahkamah Pilihan Raya buat keputusan dan kami akan memprosesnya, semua ini adalah prosedur dan un­dang-undangnya, bukannya sesuka hati minta orang letak jawatan,” katanya.

Beliau berkata kejayaan pa­katan pembangkang mengek­alkan kemenangan di beberapa negeri seperti Selangor, Pu­lau Pinang dan Kelantan adalah bukti jelas bahawa SPR menjalankan proses pilihan raya secara telus mengikut peraturan yang ditetapkan. — Bernama