Terserah kepada MCA untuk tarik balik keputusan: Muhyiddin

0

MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada pucuk pimpinan MCA sama ada ingin membatalkan kepu­tusannya sebelum ini untuk tidak menerima sebarang jawatan dalam kerajaan.

Katanya, keputusan untuk mengkaji atau membatalkan tindakannya itu adalah hak parti tersebut dan Barisan Nasional (BN) hanya meneri­ma apa sahaja keputusan mereka.

“Kalau ada apa-apa yang mereka nak kaji atau tarik balik itu terserah kepada mereka…sama ada nak buat keputusan (tarik balik) atau sebaliknya itu hak mereka.

“Saya tidak pasti sama ada masanya sudah tiba untuk mereka berbuat demikian, ada yang kata terlalu awal…soal MCA kita serah pada MCA,” kata Muhyiddin.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran dan Peng­hargaan Barisan Nasional (BN) di Sekolah Menengah Tengku Temenggong Ah­mad di Kundang Ulu, di sini kelmarin.

Majlis turut dihadiri oleh is­teri beliau Puan Sri Noorainee Abd Rahman, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin negeri dan parti komponen BN.

Muhyiddin mengulas keny­ataan Chua semalam yang menyatakan keputusan MCA untuk tidak menerima se­barang jawatan di peringkat persekutuan mahupun negeri boleh dibatalkan menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) hujung tahun ini.

Chua berkata ia boleh dilakukan jika satu pertiga daripada 2,400 perwakilan pusat menyetujuinya.

Mengenai cadangan su­paya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu tahun ini, Muhyiddin berkata terlalu awal untuk beliau mengulas tentang perkara itu.

“Sebagaimana yang kita tahu UMNO merupakan se­buah parti demokratik.

“Bukan hak individu tetapi hak ahli dan hal parti. Saya tidak akan komen, nantilah apabila sampai masa yang sesuai,” katanya.

Beberapa pihak termasuk Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan Perger­akan Pemuda UMNO Malay­sia sebelum ini mencadangkan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berpendapat jawatan itu patut dipertand­ingkan kerana UMNO merupakan sebuah parti yang mengamalkan demokrasi dan prinsip keterbukaan kepada ahlinya. — Bernama