WWF, Chef Bobby Chinn perkenal buku SOS 2.0

0

LANCAR: Sundari Ramakrishna (kiri) bersalaman dengan Bobby Chin selepas melancarkan buku panduan dikenali sebagai ‘SOS 2.0’ bersempena sambutan Hari Segi Tiga Terumbu Karang dan Minggu Lautan Sedunia di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Dana Sedunia Alam Semula Jadi (WWF) – Malaysia dan duta “Selamatkan Makanan Laut Kita (SOS) badan itu Chef Selebriti Bobby Chinn melancarkan buku panduan dikenali sebagai ‘SOS 2.0’ bersempena sambutan Hari Segi Tiga Terumbu Karang dan Minggu Lautan Sedunia di sini semalam.

Pengarah Pemuliharaan WWF-Malaysia Dr Sundari Ramakrishna berkata buku panduan bersaiz saku itu memberi fokus terhadap usaha mewujudkan kesedaran pengguna tentang keadaan semasa sumber perikanan tempatan.

Katanya WWF-Malaysia juga mengadakan kempen untuk mempengaruhi pasaran supaya melakukan transformasi berkaitan kelestarian sumber makanan laut serta mempromosi pilihan makanan laut lestari kepada pengguna.

Chinn berkata sebagai penyelam dan chef, beliau prihatin tentang jumlah ikan yang terus berkurangan setiap tahun.

“Jumlah ikan begitu jelas berkurangan dan saya dapati saiz ikan yang dijual juga semakin kecil,” katanya.

Chinn berkata beliau rasa bertanggungjawab mendidik pengguna dengan menghidangkan kepada mereka ikan yang ditangkap secara lestari dan membantu membela kehidupan nelayan dengan menganjurkan agar para nelayan mengelak daripada melakukan penangkapan secara berlebihan.

Pada sambutan itu, Dr Sundari melancarkan laman web interaktif SOS 2.0 www.saveourseafood.my yang membolehkan orang ramai membaca dan memuat turun buku panduan SOS 2.0 secara percuma untuk mengetahui cara mereka boleh memainkan peranan untuk memulihara sumber makanan laut. — Bernama