DPKO PBB perlu sedia laporan cara terbaik jamin keselamatan anggota misi pengaman

0

KUALA LUMPUR: Malaysia berpendapat Jabatan Ope-rasi Misi Pengaman (DPKO) perlu menjalankan kajian dan menyediakan satu laporan mengenai cara terbaik untuk memastikan keselamatan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa menjalankan misi pengaman.

Ini khusus dalam pengerahan Briged Intervensi bagi Misi Penstabilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Republik Demokratik Congo (MONUSCO) yang membabitkan tindakan misi pengaman secara keras, bertujuan untuk membubarkan kumpulan-kumpulan bersenjata di Kivus.

Wakil Tetap Malaysia ke PBB di New York Datuk Hussein Haniff berkata Malaysia bimbang bahawa tindakan-tindakan keras itu mungkin akan mencetuskan perang dalam perang, melibatkan anggota misi pengaman PBB.

“Untuk mengelak kemungkinan berkenaan, PBB perlu kembali kepada peranan asas misi pengaman dan tidak terbabit dalam konflik setempat, kerana jika berbuat demikian, kita hilang kesahihan kita sebagai organisasi berkecuali,” katanya dalam kenyataan beliau mengenai Keselamatan dan Jaminan Misi Pengaman pada mesyua-rat Kumpulan Kerja Majlis Keselamatan di New York baru-baru ini.

Kenyataan itu dihantar ke Bernama, di sini baru-baru ini.

Hussein berkata Malaysia menyokong peranan utama PBB dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa serta penggalakkan amalan politik dan ekonomi antarabangsa yang lebih saksama.

Beliau berkata Malaysia berpendapat PBB, dan khususnya Majlis Keselamatan PBB, perlu terus memikul tanggungjawab dalam penyelenggaraan keamanan dan keselamatan antarabangsa selaras dengan prinsip dan matlamat yang termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa relevan. — Bernama