Semua bahagian di Sarawak bakal dihubungkan

0

PENGHARGAAN: Jabu (dua kanan) menyampaikan cenderamata kepada Najib sebagai tanda penghargaan menghadiri Majlis Makan Malam Perayaan Gawai Dayak 2013 di Kuching, malam kelmarin. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Kesemua 11 bahagian di Sarawak bakal dihubungkan dengan jalan akses sebaik kerja-kerja pembinaan jalan dari Sibu ke Kapit siap dalam tempoh dua tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Khabar gembira paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Sarawak khasnya di bahagian Kapit ini dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Makan Malam Perayaan Gawai Dayak 2013 di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Menyifatkan Kapit sebagai satu-satunya kawasan di dunia yang tidak mempunyai jalan akses, beliau bagi pihak kerajaan pusat bersetuju untuk mempercepatkan dan menyiapkan projek sepanjang 33 kilomenter (km) itu yang akan menghubungkan bahagian ketujuh ini dengan bahagian lain di negeri ini.

“Berdasarkan lawatan saya ke Kapit baru-baru ini disusuli dengan tragedi bot ekpres karam di Belaga baru-baru ini, saya merasakan bahawa kerja-kerja pembinaan jalan dari Sibu ke Kapit perlu disiapkan dengan segera.

“Jadi, selepas perbincangan bersama Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, kerajaan pusat bersetuju untuk memberi peruntukan bagi pembinaan Jambatan Kanowit dan jalan ke Song dengan peruntukan RM400 juta dalam tempoh dua tahun.

“Manakala laluan-laluan lain seperti dari Kapit ke Belaga akan dilaksanakan kemudian selepas kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),” kata Najib.

Dalam pada itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada rakyat Sarawak yang terlibat dalam tragedi bot ekpres karam di Belaga baru-baru ini, Najib mengumumkan bantuan RM1,000 kepada setiap mangsa iaitu masing-masing RM500 daripada Majlis Keselamatan Negara dan Yayasan Rakyat 1Malaysia.

Bagi mangsa yang maut dalam targedi itu, bantuan bernilai RM5,000 akan diberikan kepada setiap keluarga selain penghargaan RM3,000 seorang kepada tiga penduduk yang telah menyelamatkan mangsa ketika kejadian.

Najib yang juga Menteri Kewangan turut mengesahkan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memasukkan peruntukan tambahan berjumlah RM30 juta bagi kerja-kerja penyukatan perimeter tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dalam belanjawan tahun depan.

Katanya peruntukan tambahan itu akan membolehkan kerja-kerja penyukatan tanah NCR diteruskan bagi membolehkan surat tanah dikeluarkan kepada pemilik tanah invididu termasuk perkongsian.

“Setakat ini kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM60 juta bagi kerja-kerja penyukatan perimeter tanah NCR di Sarawak dan tiada dalam sejarah peruntukan seumpama ini pernah diberikan bagi tujuan ini.

“Ini merupakan  satu contoh perjuangan BN untuk rakyat di negeri ini yang selama ini menyokong penuh kerajaan BN meskipun ditabur dengan pelbagai janji oleh pembangkang,” kata Najib yang juga pengerusi BN.

Pada majlis itu, Najib turut memuji kematangan rakyat Sarawak dalam memilih antara kabur dan nyata dan telah memilih kerajaan BN untuk terus menerajui kepimpinan negara demi perpaduan yang berpanjangan.

Turut hadir pada majlis itu isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato Sri Douglas Uggah Embas serta Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.