MERS: Pemantauan ditingkatkan

0

Jaga kesihatan lebih rapi jika berkunjung ke Timur Tengah dan Eropah

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bekerjasama rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam memantau perkembangan wabak ‘Novel coronavirus’ atau ‘Middle East Respiratory Syndrom Coronavirus (MERS-CoV) di seluruh dunia.

Selain itu, kementerian turut meningkatkan pemantauan dalam negara sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penularan virus itu, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan Jumaat lepas berkata negara Timur Tengah yang melaporkan kes MERS-CoV ialah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Tunisia, manakala negara-negara Eropah ialah Jerman, Perancis dan United Kingdom.

Dr Lokman Hakim berkata orang ramai yang berkunjung ke negara-negara Timur Tengah dan Eropah terlibat diminta supaya sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk menjaga kesihatan dengan lebih rapi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Pingat Perkhidmatan Cemerlang warga Kementerian Kesihatan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Dr Lokman Hakim berkata kementerian kini turut bekerjasama rapat dengan agensi pelancongan dan syarikat yang merancang untuk menguruskan pakej-pakej haji musim ini, untuk memberikan maklumat terperinci mengenai penularan wabak itu kepada jemaah.

Beliau berkata sehingga kini WHO tidak mengeluarkan sekatan perjalanan pelancong antarabangsa ke mana-mana negara terlibat, dan vaksin untuk jangkitan penyakit itu juga belum ditemui.

Penasihat Khas bagi aspek Keselamatan Kesihatan dan Alam Sekitar WHO Andrew Harper dalam satu taklimat media di Geneva semalam menggesa petugas kesihatan di seluruh dunia supaya berjaga-jaga terhadap simptom MERS yang berpotensi menjadi pandemik, menjangkiti seluruh dunia.

Sementara itu Dr Lokman Hakim menolak kenyataan beberapa pihak di laman web kononnya kerajaan Arab Saudi ‘membisu’ dalam soal penularan MERS di negara itu menjelang ketibaan bulan Ramadan, Julai ini.

Kerajaan Arab Saudi sentiasa berkongsi maklumat mengenai penyakit itu, malah dalam satu perhimpunan WHO, mereka membuat pembentangan mengenai persekitaran jangkitan dalam negara dan bekerjasama rapat dengan pakar WHO untuk mengkajinya, katanya.

Beliau berkata tiada jangkitan MERS dikesan dalam negara ketika ini, namun kementerian kesihatan meningkatkan lagi keupayaan makmalnya dalam usaha mengesan sebarang tanda-tanda jangkitan di kalangan pesakit dengan lebih pantas, dan saringan lebih rapi.

“Memang tidak ada vaksin untuk MERS, sebab itu nasihat kami ialah jemaah yang pergi ke Arab Saudi nanti jaga kebersihan, dapatkan panduan anggota pasukan kesihatan, kalau hadapi masalah dapatkan rawatan segera.

“Begitu juga mereka yang baru pulang dari umrah, umpamanya, memang simptom batuk biasa berlaku sekembali dari umrah, tapi kalau batuk dan demam berlarutan dan ditambah dengan masalah pernafasan, segera ke klinik. Maklumkan mengenai sejarah perjalanan supaya kita dapat buat pemeriksaan lebih teliti,” katanya.

MERS-CoV merupakan anggota keluarga kumpulan coronavirus yang menjangkiti manusia serta haiwan, dan Sindrom Pernafasan Akut (SARS) merupakan antara strain coronavirus berkenaan.

MERS-CoV mula dikesan di Arab Saudi tahun lepas, dan sehingga kini 31 daripada 55 orang yang disahkan menghidapnya di seluruh dunia, meninggal dunia, dengan 40 kes jangkitan dilaporkan di Arab Saudi. — Bernama