Percepat projek blok baharu SJKC Chung Hua Tudan

0

MIRI: Kerajaan negeri berharap projek pembinaan blok baharu bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Tudan di sini dapat disegerakan selewat-lewatnya akhir tahun ini bagi menampung keperluan yang kian bertambah.

Menteri Muda Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin berkata ketika ini pihaknya hanya menunggu kelulusan pelan bangunan tersebut daripada pihak berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, sebelum tender dapat dibuka.

“Sebaik pelan pembinaan bangunan diluluskan, baharulah kita membuka tender untuk projek pembinaan bagi membolehkan kita mengetahui jumlah atau kos yang dibida.

“Kita amat berharap agar projek pembinaan tersebut dapat dimulakan pada tahun ini, bagi membolehkan ia disiapkan dengan segera kerana jumlah pelajar yang semakin meningkat,” katanya di sini semalam.

Menurut Lee, bangunan baharu SJK (C) Chung Hua Tudan itu kelak akan dibina bersebelahan dengan padang bola sepak sekolah itu dan akan menempatkan 12 buah bilik darjah sebagai tambahan kepada bilik-bilik darjah sedia ada yang semakin sesak.

Ini kerana, katanya, sekolah tersebut terletak di tengah-tengah kawasan kediaman dan pertambahan jumlah populasi penduduk di kawasan Tudan, Senadin dan Kuala Baram turut menyumbang kepada pertambahan jumlah pelajar di sekolah tersebut.

Guru besar sekolah itu, Chong Yuen Kheng memberitahu setiap tahun (sehingga tahun lalu) sekolah tersebuh menerima purata seramai 150 pelajar baharu dan angka tersebut dijangka meningkat kepada 200 orang menjelang tahun hadapan.

“Justeru, kami berharap bangunan baharu yang akan menempatkan bilik-bilik darjah tambahan itu dapat membantu kami mengatasi kesesakan dalam setiap bilik darjah yang sedia ada sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Lee memberitahu Kerajaan Pusat telah pun meluluskan peruntukan sejumlah RM500,000 bagi tujuan pembinaan blok baharu itu.

Manakala semalam, Lee turut menyerahkan peruntukan kerajaan negeri melaluinya berjumlah RM10,000.

“Jumlah yang diagihkan oleh kerajaan negeri mahupun pusat masih tidak mencukupi, justeru kami masih menerima dan mengalukan sumbangan daripada orang ramai, syarikat korporat dan sektor swasta bagi menampung kos pembinaannya,” jelas beliau.

Apabila siap kelak, bangunan baharu tersebut akan mampu menampung seramai 600 orang pelajar pada satu masa.

SJK (C) Chung Hua Tudan dibina atas tapak seluas 10 ekar telah dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Februari lalu.

Ini merupakan sekolah aliran Bahasa Cina yang mempunyai paling ramai pelajar Bumiputera.

Daripada 1,257 murid-muridnya, 55 peratus ialah pelajar kaum Bumiputera, manakala bakinya adalah pelajar kaum Cina dan hanya satu peratus kaum bukan Bumiputera.