Permohonan peguam berhubung persoalan undang-undang 24 Jun

0

KUALA LUMPUR: Mah-kamah Tinggi menetapkan 24 dan 25 Jun ini untuk mendengar permohonan peguam korporat Datuk E.Sreesanthan berhubung beberapa persoalan undang-undang dalam kes yang dihadapinya berkaitan urus niaga dalaman melibatkan 625,000 saham syarikat.

Pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) Arik Zakri Abdul Kadir memberitahu demikian kepada pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Mat Ghani Abdullah di dalam kamar.

Katanya, Hakim Kamardin Hashim dijadual mendengar permohonan Sreesanthan bagi merujuk persoalan itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah juga menetapkan 8 Julai untuk sebutan kes itu.

Persoalan itu antaranya ialah mengenai kuasa pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) memasuki premis walaupun tidak mempunyai waran geledah.

Sreesanthan juga memohon Mahkamah Tinggi itu membuat tafsiran tentang Seksyen 128 Akta SC 1993 yang memperuntukkan kuasa merampas dan menahan sebarang dokumen daripada seseorang semasa penyiasatan kes jenayah dijalankan.

Pada 20 Julai tahun lepas, Sreesanthan, bekas pengarah bebas bukan eksekutif Sime Darby Bhd, didakwa terhadap tujuh pertuduhan berkaitan urus niaga dalaman melibatkan 625,000 saham Sime Darby Bhd, Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd. — Bernama