Sarawak lokasi Minggu New Zealand pada Mac depan

0

KUCHING: Sarawak akan menjadi lokasi pertama penganjuran Minggu New Zealand pada bulan Mac tahun depan.

Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia David Pine berkata, program selama seminggu itu antara lain akan mempamer dan mempromosikan persamaan kebudayaan antara puak Maori dan Polinesia.

“Kita amat berminat untuk meneroka hubungan tersebut dan akan berusaha mencari ahli antropologi yang baik bagi mengkaji hubungan antara kedua-dua pihak ini.

“Justeru, kita akan mengadakan Minggu New Zealand di Kuching dan seterusnya di Kuala Lumpur yang akan membawa New Zealand ke Sarawak, dan Sarawak ke New Zealand,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr Alfred Jabu Numpang di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat Dewan Perdagangan New Zealand Malaysia Datuk Alex Ting.

David memberitahu, persamaan antara kedua-dua budaya ini amat ketara lebih-lebih lagi dari segi bahasa.

Oleh itu, katanya, program itu akan dinamakan ‘Lima Mata Ikan’ atau dalam bahasa Maori, ‘Rima Mata Ika’, yang mana kedua-duanya membawa maksud sama.

Persamaan Maori dan peribumi di Sarawak khasnya kaum Dayak, katanya, juga boleh disaksikan pada motif ukiran-ukiran kayu.

“Persamaan pada motif ukiran kayu ini menunjukkan hubung kait yang begitu ketara,” katanya.

Sementara itu, Jabu turut mencadangkan agar kumpulan kebudayaan dari New Zealand, selain pengukir kayu, dibawa bersama dalam program tersebut.

“Kita amat berbesar hati sekiranya program ini dapat diadakan di Kuching terlebih dahulu selama beberapa hari, sebelum di Kuala Lumpur,” katanya.

Selain Ekspo ‘Lima Mata Ikan,’ turut diadakan pada minggu sama ialah pameran pendidikan dan program pertukaran kebudayaan yang akan membawa kepada kerjasama lebih kukuh dan pembangunan di Sarawak.