Tarikh tutup permohonan biasiswa k’jaan India dilanjut hingga 18 Jun

0

KUALA LUMPUR: Tarikh tutup permohonan biasiswa oleh anak-anak diaspora untuk mengikuti pengajian dalam bidang umum dan profesional di India, dilanjutkan hingga 18 Jun, kata Suruhanjaya Tinggi India di sini semalam.

“Biasiswa yang ditawarkan ialah untuk mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, seni bina, teknologi, kemanusiaan, seni liberal, pentadbiran perniagaan, pengurusan perniagaan, aplikasi komputer, kewartawanan, pengurusan hotel, pertanian, perusahaan ternakan, sains dan undang-undang,” kata suruhanjaya tinggi itu dalam satu kenyataan.

Suruhanjaya Tinggi itu berkata biasiswa berkenaan menawarkan 75 peratus daripada kos ekonomi institusi (IEC) atau AS$4,000 setahun, yang mana lebih rendah. IEC meliputi yuran tuisyen, yuran asrama dan bayaran institusi lain.

Kata kenyataan itu, garis panduan dan borang permohonan biasiswa berkenaan boleh dimuat turun daripada http://indianhighcommission.com.my/spdc.html. — Bernama