31 bakal jemaah umrah Kelantan mendakwa ditipu lebih RM100,000

0

KOTA BAHARU: Sebanyak 31 bakal jemaah umrah mendakwa ditipu lebih RM100,000 oleh sebuah agensi pelancongan di sini, setelah penerbangan mereka ke tanah suci ditangguh beberapa kali.

Seorang bakal jemaah Bidah Abdul Rahman, 64, dari Kampung Sireh di sini, berkata tarikh sepatutnya mereka berangkat ke Mekah untuk mengerjakan umrah ialah pada 27 Mei lepas tetapi ditangguh berkali-kali sehingga 4 Jun lalu.

“Sehingga kini mereka (agensi) tidak memberi sebarang kata putus dan kami cuma inginkan kembali duit yang kami telah bayar kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia Cawangan Kelantan, di sini semalam.

Bidah yang mendaftar untuk mengerjakan umrah bersama adiknya, telah membayar RM5,850 untuk seorang kepada agensi pelancongan itu dan bayaran RM415 sebagai kos pengangkutan dari Kota Baharu ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, Selangor.

“Kami telah berhabis lebih RM6,000 seorang dan kami telah berangkat ke LCCT pada 4 Jun tetapi terkandas di sana,” katanya.

Osman Alias Abdul Mahmud, 69, dari Pasir Mas yang menyertai jemaah itu bersama isteri dan seorang anaknya, berkata beliau mengetahui pakej umrah berkenaan melalui seorang ustazah yang mengajar di kampungnya.

“Apabila saya dapat tahu mengenai pakej ini melalui ustazah tersebut, saya berminat untuk menyertainya dengan harapan dapat mengerjakan umrah sempena bulan Syaaban ini,” katanya yang berharap pihak berkenaan mengembalikan segera wang yang telah dibayar. — Bernama