Kanada buka Pusat Permohonan Visa baharu di Wisma MCA

0

KUALA LUMPUR: Kerajaan Kanada membuka Pusat Permohonan Visa (VAC) baharu di Suite 19-03, Tingkat 19, Wisma MCA, Jalan Ampang di sini bagi memudahkan orang ramai memohon visa untuk ke negara itu.

“Mereka yang ingin memohon visa pelawat, pas pelajar, permit kerja atau pemastautin tetap dan dokumen perjalanan digalakkan menggunakan VAC baharu ini,” kata Suruhanjaya Tinggi Kanada dalam kenyataan di sini semalam.

Ia bagaimanapun berkata VAC di Wisma MCA itu tidak terlibat dalam proses membuat keputusan dan tidak diberi kuasa untuk memberi khidmat nasihat kepada pemohon berkaitan visa.

Pembukaan VAC baharu ini sejajar dengan langkah Citizenship and Immigration Canada (CIC) meluaskan rangkaian VACnya di seluruh dunia untuk memberi perkhidmatan pentadbiran kepada pemohon, kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata pemohon boleh menghubungi ejen perkhidmatan VAC melalui telefon, e-mel atau mengadakan perjumpaan secara bersemuka untuk mengatasi kemusykilan mereka tentang urusan permohonan visa.

“Ini boleh membantu mengelak kelewatan atau kegagalan mendapatkan visa akibat kesilapan dalam mengisi borang permohonan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, VAC juga menyediakan perkhidmatan lain seperti fotostat, fotografi dan terminal komputer layan diri bagi mereka yang ingin memohon visa secara dalam talian dengan bayaran tertentu.

Kerajaan Kanada merancang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menarik lebih ramai pelawat dan bakat terbaik dari seluruh dunia ke negara itu.

“Bagi tujuan ini, CIC berusaha untuk mengeluarkan visa dan permit dengan secepat mungkin bagi memudahkan perjalanan imigran, pelawat dan pelajar,” kata kenyataan itu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang perkhidmatan yang disediakan VAC ini dengan melayari www.cic.gc.ca/vac, manakala untuk maklumat berkaitan visa, permit pelajar dan pemastautin tetap pula, mereka boleh menghubungi talian bantuan VAC 03-23812296 atau melayari www.vfsglobal.ca/Canada/Malaysia. — Bernama