Kanak-kanak dipercayai didera rakan lelaki ibunya

0

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai menjadi mangsa dera rakan lelaki ibunya di Bukit Chendering dekat sini, tiga hari lepas.

Bertindak atas aduan orang awam menerusi Talian Nur, budak perempuan berusia dua tahun tujuh bulan itu ditemui dalam keadaan sebelah kakinya berwarna kehitam-hitaman dan berbau busuk dipercayai akibat terkena objek panas lebih seminggu lalu.

Kanak-kanak itu memberitahu pegawai JKM dan anggota polis yang datang ke rumahnya bahawa kecederaan itu dilakukan seorang lelaki yang juga rakan ibunya.

Dia juga mengadu cedera di beberapa bahagian anggota badan yang lain namun ibunya yang berusia 30-an tidak membawanya ke hospital sebaliknya hanya membalut luka di kaki itu dengan sehelai kain.

Pengarah JKM Terengganu Zuhami Omar ketika dihubungi semalam berkata kanak-kanak itu kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini dan doktor mengesahkan kecederaan pada kaki kanak-kanak itu disebabkan terkena objek panas.

Katanya, JKM masih menunggu laporan perubatan kanak-kanak itu dan jika disahkan berlaku penderaan, kes akan dirujuk kepada polis untuk siasatan dan tindakan. — Bernama