Kerajaan mahu tingkatkan tahap celik kewangan

0

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu mereka memanfaatkan pasaran modal dan mencapai matlamat pelaburan mereka, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata beberapa program pendidikan telah dijalankan termasuk ‘Kempen Pelaburan Bijak Kebangsaan’ anjuran Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang diadakan dari Oktober 2012 hingga Mac 2013, yang memberi manfaat kepada hampir enam juta pelabur baharu dan bakal pelabur.

“Ini semua merupakan inisiatif untuk meningkatkan tahap celik kewangan dan pelaburan rakyat, agar mereka juga boleh meraih manfaat daripada pasaran modal yang sedang berkembang,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke ibu pejabat SC di sini semalam.

Celik kewangan amat penting bagi orang ramai untuk mengelakkan mereka daripada berurus niaga dengan pelaburan atau skim kewangan yang menarik tetapi menyalahi undang-undang.

Beliau menegaskan bahawa 19,000 pelabur telah menjadi mangsa penipuan pelaburan, Swiss Cash.

Sementara itu, Ahmad berkata pasaran modal Malaysia terus memainkan peranan penting dalam membiayai ekonomi domestik dengan mencatat rekod jumlah dana sebanyak RM146 bilion yang dikumpulkan tahun lepas.

“Sejumlah besar dana telah disalurkan untuk membiayai peluasan kegiatan ekonomi domestik.

“Ini termasuklah projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi, yang telah memberi faedah kepada orang ramai,” katanya.

Sebelum itu, Ahad berkata komitmen SC terhadap perlindungan pelabur tetap utuh dengan usahanya yang berterusan bukan sahaja dengan mengadakan siri jelajah pendidikan pelabur, malah juga menambah baik rangka kerja tadbir urus korporat di negara ini.

Beliau menyuarakan keyakinan bahawa SC, yang merayakan ulang tahun ke-20 penubuhannya, boleh melonjakkan pasaran modal negara ke tahap yang lebih tinggi selepas mengadakan asas yang kukuh melalui dua Pelan Induk Pasaran Modal.

“Malaysia secara konsisten menduduki tempat keempat bagi perlindungan pelabur dalam ‘Laporan Menjalankan Perniagaan’,” katanya. — Bernama