Mayat bayi berulat ditemui di dalam tong sampah

0

GEORGE TOWN: Misteri bau busuk daripada sebuah tong sampah di hadapan sebuah rumah di pangsapuri Jalan Lintang Madrasah, Jelutong Park di sini, terungkai dengan penemuan mayat bayi yang sudah berulat semalam.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri SAC Mazlan Kesah berkata, mayat bayi yang belum diketahui jantina itu ditemui seorang penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk tersebut sejak Selasa lepas.

“Bayi itu dimasukkan di dalam plastik sampah dan siasatan awal mendapati unit pangsapuri berkenaan dihuni dua lelaki dan dua wanita, namun penghuni wanita telah meninggalkan rumah tersebut beberapa hari lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya mayat bayi itu telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang pada jam 9 pagi semalam untuk dibedah siasat.

Setakat ini polis tidak melakukan sebarang tangkapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun jika disabitkan, katanya. — Bernama