Tanjakan runtuh: Keluarga mangsa berhak ambil tindakan undang-undang

0

GEORGE TOWN: Keluarga mangsa runtuhan tanjakan Jambatan Kedua Pulau Pinang berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab terhadap projek itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata kerajaan juga bersimpati dengan tragedi yang menimpa keluarga Allahyarham Tajudin Zainal Abidin, 45, yang maut dalam kejadian petang Khamis lepas itu.

“Saya juga ingin mengesahkan bahawa perjumpaan saya dengan keluarga mangsa tiada kena-mengena dengan usaha untuk menidakkan hak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak lokasi runtuhan itu, di sini semalam.

Beliau sebelum itu menziarahi keluarga mangsa di kediaman mereka di Permatang Damar Laut, Batu Maung, di sini.

Mengenai perkembangan siasatan, Rosnah berkata kementerian itu akan mengeluarkan kenyataan rasmi selepas menerima laporan lengkap daripada pihak yang berkenaan.

Kelmarin adik mangsa, Khairudin berkata keluarganya akan memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut pembelaan setimpal untuk dua isteri Allahyarham iaitu Shara Ismail, 44, dan Shariffah Ramli, 40, serta empat anak arwah yang masih bersekolah.

Insiden yang berlaku pada jam 6.40 petang itu turut mengakibatkan tiga lagi cedera iaitu dua pekerja asing, Slamat, 36, dari Indonesia dan warga Myanmar Tin Maung Iwin, 39.

Seorang lagi yang dilaporkan cedera ialah wanita tempatan, Thilasheni Rajendran, 24, akibat terkena serpihan runtuhan di bahagian tangan. — Bernama