Amaran keras kepada pihak jejaskan kepentingan awam

0

KOTA KINABALU: Tindakan undang-undang akan akan diambil kepada semua pihak yang cuai melakukan pembangunan sehingga menjejaskan kepentingan awam.

Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Fadillah Yusof memberi amaran tegas terbabit kepada pihak pemaju mahupun individu yang tidak mematuhi perundangan atau peraturan dalam pelbagai aspek.

“Kita mengambil tindakan bukan untuk menghukum tetapi untuk memberikan pengajaran kepada mereka serta amaran kepada orang lain bahawa kita mempunyai tanggungjawab sosial.

“Apabila kita melakukan pembangunan sama ada di tanah sendiri, maka kita perlu mengambil tindakan berhati-hati agar tidak menyebabkan orang lain terjejas seperti tanah runtuh dan jalan raya terputus hubungan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek jalan raya Lok Kawi-Kota Kinabalu, Lok Kawi-Donggongon dan jalan tanah runtuh Penampang-Tambunan, di sini kelmarin.

Katanya, sekiranya tindakan undang-undang diambil kerajaan turut menuntut ganti rugi daripada pihak terbabit bagi membina semula jalan yang terjejas.

Mengenai kejadian tanah runtuh yang menyebabkan jalan terputus di Penampang- Tambunan, Fadillah berkata ia disebabkan kelemahan dalam pelaksanaan individu atau syarikat yang ingin melakukan sesuatu pembangunan.

Katanya, pihak terbabit didapati tidak mematuhi kehendak serta tidak melihat dari segi konteks kejuruteraan yang akhirnya menyebabkan jalan raya terbabit runtuh.

“Jabatan Kerja Raya dan syarikat konsensi yang telah mengambil tindakan segera membolehkan laluan jalan sementara ini sudah dibuka semula.

“Bagaimanapun, kita sudah pasti mencari jalan penyelesaian untuk memperkukuhkan lagi jalan raya ini dengan keadaan yang mencabar terutamanya di kawasan gunung dan pinggiran bukit ini,” katanya.

Dalam pada itu, ketika tinjauan dua projek di bawah Program Naiktaraf Jalan Raya Pan Borneo, Fadillah turut berpuas hati dengan pelaksanaan terbabit kerana kemajuan yang memuaskan walaupun baru dilaksana pada April lalu.

Katanya, projek itu ditumpukan di kawasan yang sesak dengan laluan trafik iaitu jalan Kota Kinabalu-Lok Kawi sejauh 6 kilometer (km), dan Lok Kawi sehingga bulatan ke pasar Donggongon kira-kira 14km.

“Ini melibatkan kos yang agak besar kerana kita bukan sahaja membuat jalan tetapi membayar pampasan terhadap tanah yang diambil untuk pembesaran jalan dari empat lorong kepada enam lorong, dan dua lorong menjadi empat lorong,” katanya.

Katanya, ia turut membabitkan pemindahan ameniti yang sedia ada seperti lampu, elektrik, air, termasuk tiang telefon bagi tujuan pembesaran jalan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan tetamu kehormat yang lain.