19 penyelam bantu kesan kedudukan bot ekspres karam

0

BELAGA: Sembilan belas penyelam dijangka membantu usaha mengesan kedudukan bot ekspres Kawan Mas yang karam di Sungai Rajang berhampiran Giam Bungan di sini pada 28 Mei.

Ketua Polis Daerah DSP Bakar Sebau berkata, 13 penyelam dari pasukan Polis Marin negeri dan persekutuan telah menjalankan tugas itu sejak empat hari lepas.

“Kami menjangka enam lagi akan datang dari Semenanjung untuk membantu usaha kami hari ini (semalam),” katanya kepada Bernama sejurus kembali dari tempat kejadian, kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari sini semalam.

Bakar berkata, bot berkenaan dipercayai beralih daripada kedudukannya sebelum ini akibat arus deras berhampiran kawasan rejam.

“Malah, kuasa alam semula jadi ini merupakan cabaran terbesar yang dihadapi penyelam kami, yang bertugas dari 7.30 pagi hingga 4.15 petang.

“Semalam (kelmarin), mereka melakukan dua selaman hingga ke dasar sungai. Hari ini (semalam) mereka melakukan tiga selaman, tapi setakat ini belum dapat mengesan bot berkenaan,” katanya.

Bakar, yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat itu berkata, usaha akan diteruskan sehingga dua penumpang yang masih hilang dikenali sebagai Roslin Jati, 34, yang mengandung lima bulan, dan Maurice Ajan, 22 dijumpai.

“Misi utama penyelam kami se-karang ialah mencari mereka.

“Terdapat andaian bahawa mereka terperangkap di dalam bot berkena-an,” katanya.

Ketika kejadian, bot terbabit, yang berkeupayaan membawa 75 penumpang, membawa lebih 200 pekerja pembalakan serta ladang sawit dan getah yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan Gawai Dayak. — Bernama