G5 belum ada jawapan mungkin sertai semula SPDP

0

KUCHING: Kumpulan Berlima (G5) belum ada jawapan terhadap kemungkinan menyertai semula Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Jurucakapnya, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata, tidak wujud persoalan setuju atau menolak kemungkinan seperti dinyatakan Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom.

“Bagaimana saya nak katakan setuju atau tidak sedangkan kami langsung belum mempertimbangkannya (berbincang)?” katanya ketika dihubungi semalam.

Nansian, sebelum keluar daripada SPDP merupakan naib presiden kanan, berkata jika benar wujud ‘tawaran’ sedemikian, ahli-ahli G5 perlu mengkaji terlebih dahulu.

Beliau yang enggan mengulas lanjut membayangkan apa jua keputusan akan mengambil kira kepentingan semua ahli G5.

“Jika sentuh seorang (ahli G5) itu bermakna sentuh semua G5,” katanya.

G5 merupakan gelaran kepada bekas pemimpin SPDP. Empat yang lain ialah bekas naib presiden Datuk Dr Tiki Lafe, bekas naib presiden Datuk Sylvester Entri Muran, bekas ahli Majlis Tertinggi Rosey Yunus dan bekas ketua penerangan Paulus Palu Gumbang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Dr Tiki bertindak menentang calon Barisan Nasional (BN) daripada SPDP, Anthony Nogeh Gumbek di Parlimen Mas Gading. Nogeh menang.

Entri dipecat daripada parti pada 25 November 2011 kerana menentang kepimpinan Mawan.

Serentak tarikh itu, empat lagi G5 dilucut jawatan dalam parti. Ekoran pelucutan itu, mereka berempat mengumumkan keluar daripada parti pada 7 Januari 2012.

Kelmarin, Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial berkata kemungkinan penerimaan semula itu tidak membabitkan semua G5.

“Tetapi ia tidak 100 peratus, sudah pasti tidak,” katanya yang turut mengatakan ia merupakan antara proses penyatuan semula bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri seterusnya.