Sunday, September 26

Mangsa serangan buaya trauma pulang ke rumah panjang

0

TRAUMA: Willie yang mengalami kecederaan di paha (sisipan) terlantar di Hospital Bintulu sejak 1 Jun lalu selepas diserang buaya di Sungai Tatau.

BINTULU: Kejadian dibaham buaya yang hampir meragut nyawa tidak akan dilupakan seumur hidup bahkan meninggalkan kesan trauma mendalam ke atas seorang wanita dari sebuah rumah panjang di Sungai Tatau pada 31 Mei lalu.

Willie Guran, 33, dari Rumah Guran Tanjung Melintang, Nanga Separai Sungai Tatau merupakan mangsa serangan buaya berdekatan rumah panjangnya sebelum perayaan Hari Gawai Dayak lalu.

“Kejadian antara jam 1 dan 2 petang, 31 Mei lalu tidak akan saya lupakan. Kini saya berasa amat takut dan gementar untuk pulang ke rumah panjang,” katanya semasa ditemui di Wad Ortopedik Wanita Hospital Bintulu, semalam.

Beliau yang mempunyai tiga anak berumur lima hingga 12 tahun menceritakan detik-detik cemas, bagaimana buaya menyerang dan membaham paha kanannya dalam peristiwa yang pertama berlaku sejak lebih 20 tahun mendiami kawasan itu.

“Saya ke sungai untuk membuang air besar di sebuah ‘jelatung’ berdekatan rumah panjang saya. Selesai membuang air besar dan hendak memakai seluar, tiba-tiba seekor buaya dengan pantas menggigit saya dari belakang lalu menarik saya ke dalam air di bawah ‘jelatung.’

“Saya jatuh ke dalam sungai itu, namun sempat memegang tali yang mengikat ‘jelatung.’ Begitupun, buaya berukuran 10 kaki itu bertindak membaham paha kanan saya sehingga menyebabkan daging paha saya terkoyak.

“Saya bergelut antara hidup dan mati melawan buaya itu hampir lima minit serta berusaha melepaskan diri. Akhirnya buaya itu melepaskan gigitan dan cengkaman mulutnya tetapi paha saya terkoyak.

“Adik saya, Sipea, 17, yang berada di atas rumah mendengar bunyi sesuatu jatuh dalam sungai dan terkejut apabila mendapati saya sedang dibaham buaya. Dalam jarak 10 meter dari rumah, adik saya pantas berlari ke arah saya untuk membantu mengangkat saya ke atas ‘jelatung.’

“Pada masa itu, saya tidak berasa sakit bahkan mampu berjalan meminta tolong daripada ibu bapa saya yang berada di rumah, manakala adik saya memanggil suami saya yang berada di rumah lain memandangkan sambutan Hari Gawai hendak diadakan pada keesokannya,” jelasnya.

Willie berkata, beliau tidak menjangka buaya menyerang manusia memandangkan mereka telah mendiami kawasan Sungai Tatau itu lebih daripada 20 tahun.

“Gigitan buaya itu sangat kuat sehingga menyebabkan saya hampir lemas dan tenggelam di dasar sungai. Lebih kurang lima minit saya bergelut untuk menyelamatkan nyawa melawan reptilia itu yang cuba menarik saya ke dasar sungai, mujur ada tali pada ‘jelatung’ untuk saya berpaut.

“Dua kali saya terlepas pautan pada tali ‘jelatung’ dan pegangan kali kedua saya kukuh sehingga menyebabkan buaya itu hanya berupaya mengoyak daging paha saya sekali gus melepaskan saya.

“Saya amat bersyukur dan lega kerana masih hidup dan selamat dalam kejadian ini,” katanya.

Menurutnya, ibu bapanya amat terkejut apabila melihat keadaan beliau tidak bermaya di tangga rumah panjang dan mula berasa kesakitan daripada gigitan buaya itu.

“Selepas itu, adik memanggil abang saya, Muyong Guran, 40, lalu membawa saya dengan ditemani suami saya, Suata Nuin, 43, ke Pekan Tatau dan seterusnya ke Klinik Kesihatan Tatau sekitar jam 2 petang.

“Semasa saya dibawa dengan bot panjang, buaya yang membaham saya masih berlegar-legar di sungai itu, bahkan merenung saya.

“Saya tidak pasti mengapa buaya itu merenung saya, mungkin masih dapat menghidu bau darah dari paha saya. Saya tidak pasti mengapa buaya itu bertindak menyerang manusia atau kemungkinan kehabisan makanan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, selepas tiba di Klinik Kesihatan Tatau, dia dibawa dengan ambulans ke Unit Kecemasan Hospital Bintulu dan menerima beberapa jahitan pada paha yang dibaham buaya dan jari kaki kirinya yang tercedera terkena kayu.

“Kini, saya berasa sangat trauma dan takut untuk pulang ke rumah panjang saya,” katanya sambil menambah dia membuang air besar di sungai pada waktu itu kerana ketiadaan air di rumah panjang, malah kawasan itu tidak menerima bekalan air bersih.

“Tandas memang ada di rumah, tetapi kami tidak mempunyai bekalan air paip bersih, jadi terpaksa mengharapkan sungai untuk mandi, membasuh kain malah membuang air besar, Namun, risikonya kami perlu berdepan dengan buaya,” katanya.

Rumah Guran Lanyau yang terletak kira-kira 800 meter dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau hanya menggunakan kemudahan jana kuasa dan bergantung kepada hujan sebagai bekalan air mereka.