Operasi mencari di kawasan runtuhan penebat kilat diteruskan

0

GEORGE TOWN: Pasukan mencari dan menyelamat meneruskan kerja-kerja mengorek di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini bagi mencari mayat mangsa seorang penjual nasi yang dikenali sebagai Lim Chin Aik.

Kerja-kerja menggali yang dijalankan bomba, pekerja kontraktor dan polis itu bermula pada jam 8 pagi semalam dan ia akan diteruskan sehingga mayat mangsa dijumpai.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pasukan mencari dan menyelamat menjalankan kerja menggali sejak petang kelmarin dan berhenti pada jam 6 pagi semalam sebelum disambung semula.

“Kerja-kerja mencari dan menyelamat diteruskan 24 jam hari ini (semalam) dan hanya akan dihentikan selepas jumpa mayat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Katanya, 20 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Azmi berkata setakat ini pasukan mencari dan menyelamat menjumpai beberapa serpihan kereta seperti tayar dan papan pemuka.

Kelmarin, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini sepadan dengan kereta milik penjual nasi itu.

Beliau berkata penemuan itu sekali gus merungkai laporan kehilangan seorang lelaki berusia 44 tahun sejak hari kejadian Khamis lepas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati pasukan mencari dan menyelamat telah mengorek lubang sedalam tujuh meter di kawasan dipercayai mangsa tertimbus.

Bagaimanapun, kerja-kerja mencari mangsa menjadi sukar berikutan struktur tanah mendap selain kawasan dilimpahi air kerana paip bawah tanah pecah akibat runtuhan berkenaan. — Bernama