Paip pecah akibat runtuhan penebat kilat sedang dibaiki

0

GEORGE TOWN: Paip bawah tanah yang pecah akibat kejadian penebat kilat runtuh di Jalan Macalister di sini sedang dibaiki bagi membolehkan bekalan air di kawasan terjejas dapat dipulihkan.

Tinjauan Bernama di tempat kejadian mendapati kerja-kerja menggali bagi mencari mangsa yang dipercayai tertimbus dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada proses penyambungan paip itu.

Kerja-kerja memateri paip yang pecah itu sedang dijalankan dan tidak dapat dipastikan bila ia akan siap sepenuhnya.

Pada Jumaat lepas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyediakan dua lori tangki untuk membekalkan air kepada pengguna di kawasan terjejas.

Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat PBAPP Syarifah Nasywa Syed Feisal dilaporkan berkata kira-kira 200 pengguna sekitar Datuk Keramat, Kampung Jawa, Komtar dan Jalan Anson di sini, mengalami gangguan bekalan air akibat kejadian itu.

Selain itu, kerja memasang sejenis logam bagi menghalang air memasuki lubang yang terbentuk akibat daripada runtuhan penebat kilat berkenaan, turut dijalankan.

Pada Khamis lepas, penebat kilat setinggi 20 meter yang terletak di atas Menara UMNO di Jalan Macalister di sini, runtuh akibat angin kencang mengakibatkan jalan rosak selain menghempap beberapa kenderaan.

Insiden yang berlaku jam 6.45 petang itu turut menyebabkan Jahir Sulaiman, 46, maut selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata sejenis logam akan digunakan bagi menghalang air terus masuk ke dalam lubang di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister, di sini.

Beliau berkata perkara itu dimaklumkan jurutera yang bertugas di tempat kejadian ketika mengadakan lawatan di situ semalam.

“Saya dimaklumkan oleh jurutera bertugas bahawa kerja-kerja menggali di tempat kejadian berhadapan dengan masalah tanah lembut dan apabila mereka mengorek lebih dalam, tanah menjadi lagi mendap berikutan air bertakung.

“Jadi mereka akan masukkan sejenis logam ke dalam tanah di sekitar kawasan lubang bagi menghalang air dari paip yang bocor di kawasan itu terus masuk dalam lubang,” katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian di sini. — Bernama

Beliau yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata jurutera turut memaklumkan dengan menggunakan logam berkenaan, kerja-kerja mengorek di tempat kejadian akan menjadi lebih mudah. — Bernama