Anggota RELA dipenjara, didenda RM20,000 kerana terima rasuah

0

ALOR SETAR: Seorang anggota Pasukan Relawan  Malaysia (RELA) dijatuhi hukuman penjara keseluruhan setahun enam bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM300 tahun lalu.

Hakim Kanan Maznah Abdul Aziz membuat keputusan itu terhadap Azlan Md Noh, 44, yang merupakan anggota RELA Langkawi.

Bagi pertuduhan pertama, Azlan yang bekerja sebagai nelayan, dituduh menerima suapan RM100 sebagai dorongan untuk tidak memeriksa kedai makan milik Norman Abd Latif dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Norman kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah, di Medan Selera Nuralhidayah, Kampung Kelibang di Kuah, Langkawi pada 17 Feb 2012, pada jam 4 petang.

Dalam pertuduhan kedua, dia dituduh menerima suapan RM200 sebagai dorongan untuk tidak memeriksa kedai makan milik Miss Arsa Madtanee @ Atirah Desa dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Atirah kerana menggaji pekerja asing tanpa permit sah di Medan Selera Nuralhidayah, Kampung Kelibang di Kuah, Langkawi pada 18 Feb 2012, pukul 2.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama bagi kedua-dua pertuduhan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Untuk pertuduhan pertama, dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau lima bulan penjara lagi jika gagal membayar denda, manakala bagi pertuduhan kedua, Azlan dikenakan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000 atau lima bulan penjara.

Maznah memerintahkan hukuman penjara tersebut berjalan serentak bermula semalam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM Syahrul Khuzaini Amiruddin, manakala Azlan tidak diwakili peguam. — Bernama