JKP perlu sediakan laporan mengenai struktur bangunan yang terlibat runtuhan

0

GEORGE TOWN: Pemilik bangunan menara UMNO, JKP Sdn Bhd (JKP) dikehendaki menyediakan laporan lengkap mengenai kekukuhan dan kestabilan struktur konkrit yang masih tinggal serta bahagian struktur yang telah runtuh dalam tempoh tujuh hari bermula semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, sehubungan dengan itu JKP diminta untuk menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur konkrit sedia ada dan yang terlibat runtuhan.

“Diharap pihak JKP dapat memberikan penjelasan dari segi ‘design philosophy’ ke atas reka bentuk bahagian struktur yang telah runtuh. Kegagalan untuk menyerahkan laporan dalam tempoh ditetapkan membolehkan pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengenakan tindakan.

“Pengesahan kekukuhan dan kestabilan struktur bangunan itu penting bagi memastikan keselamatan orang awam agar insiden yang sama tidak berulang,” katanya kepada pemberita sebelum taklimat mengenai kerja-kerja mencari dan menyelamat akibat runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini.

Dalam kejadian angin kencang pada jam 6.45 petang Khamis lepas, seorang penjual nasi Lim Chin Aik, 44, dikhuatiri tertimbus setelah pasukan mencari dan menyelamat menemui sebuah kereta Honda City berwarna kelabu terbenam di kawasan runtuhan pada Sabtu.

Selain Chin Aik, insiden itu turut menyebabkan seorang pekerja asing, Jahir Sulaiman, 46, maut selepas lori yang dinaikinya bersama rakan sekerja dihempap penebat kilat itu.

Taklimat kepada barisan exco dan media itu telah disampaikan oleh Ketua Operasi Datuk Lim Kok Khong yang juga bekas Pengerusi Institut Jurutera Malaysia (IEM) cawangan Pulau Pinang.

Selain itu, Lim berkata pihak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) juga telah mengeluarkan notis kepada JKP pada 14 Jun lepas supaya menghapuskan kacauganggu terutamanya struktur atau alang tetulang konkrit dan kepingan besi keluli yang masih tersangkut dan berada dalam keadaan bahaya di tingkat bumbung bangunan menara UMNO itu.

“Selain itu pihak MPPP juga khuatir dengan kekukuhan dan kestabilan struktur konkrit berketinggian 25 meter yang terletak bersebelahan dengan struktur konkrit yang runtuh yang ada di atas bangunan itu.

“Pihak MPPP telah banyak menerima aduan daripada orang awam yang mengadu bahawa struktur itu dari segi visualnya kelihatan telah berlaku kecondongan,” katanya.

Sementara itu dalam taklimatNYA, kok Khong berkata kerja- kerja mencari dan menyelamat tidak dapat diteruskan kerana keadaan tanahnya lembut dan berselut, menjadikannya mudah terhakis dan mendap.

Selain bimbang struktur bangunan di sekitar terjejas pemberhentian operasi itu turut mengambil kira faktor keselamatan anggota pasukan penyelamat. — Bernama