Kerajaan pusat digesa percepat projek tebatan banjir Sungai Golok

0

KOTA BAHARU: Kerajaan persekutuan digesa mempercepatkan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ketujuh (RMK7).

Anggota Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Muhd Yusoff berkata pembinaan projek itu akan dapat membantu mengurangkan aktiviti penyeludupan di sempadan selain menjaga keselamatan negara dan orang ramai serta menyekat pengaliran wang haram ke negara jiran.

Siti Zailah berkata kerajaan persekutuan memperuntukkan kira-kira RM2 bilion untuk projek berkenaan di bawah RMK7 dan rundingan juga telah diadakan dengan kerajaan Thailand.

“Thailand dah lama buat tebatan banjir dan mereka buat penambahbaikan secara berperingkat-peringkat. Kalau musim tengkujuh, pekan Golok tidak terjejas tetapi pekan Rantau Panjang yang terjejas dengan banjir sehingga melumpuhkan aktiviti perniagaan sepanjang musim tersebut.

“Kalau kerajaan tak mampu nak bina keseluruhan, bina secara  berperingkat-peringkat. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam manifesto sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 juga ada berjanji untuk membina benteng tersebut dan saya harap ia dapat ditunaikan,” katanya ketika ditemui selepas mengikuti Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim di sini semalam. — Bernama