Kerajaan BN Terengganu tidak pilih kasih salur bantuan untuk rakyat

0

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu komited meneruskan mandat untuk memberi pelbagai bantuan kepada rakyat tanpa pilih kasih selepas membentuk kerajaan hasil kemenangan majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lepas.

Antara bentuk bantuan itu adalah Dana Raya, Dana Remaja, Bantuan Perubatan, Dana Tabung Kronik, Bantuan Atap Biru dan pelbagai bantuan khas, terutama kepada rakyat miskin.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata, kesemua penerima tanpa mengira fahaman politik layak menerima bantuan itu walaupun BN hanya menang tipis iaitu 17 daripada 32 kerusi pada PRU13.

“Sebagai kerajaan yang bersikap prihatin dan bertanggungjawab, kita tetap meneruskan bantuan ini kerana mahu rakyat hidup selesa dan meringankan beban kewangan mereka,” katanya menjawab soalan Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Dana Perubatan Sosial menyalurkan RM2.5 juta kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah bagi membantu rakyat yang tidak berkemampuan membiayai rawatan.

“Antara peralatan yang disediakan bagi manfaat pesakit termasuk kaki palsu, mesin oksigen, lampin pakai buang, bekalan susu khas, katil khas dan kerusi roda mengikut keperluan semasa pesakit,” katanya.

Semasa sesi perbahasan pula, Datuk Sabri Mohd Noor (BN-Langkap) menegaskan wakil rakyat BN tetap berlaku adil kepada semua rakyat yang meminta bantuan dan berdasarkan pengalaman peribadinya sendiri, beliau menurunkan tandatangan seperti yang dipinta anak calon PAS yang menentangnya pada PRU13.

“Baru-baru ini ada tiga pelajar ke rumah saya minta tandatangan borang untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. Jadi apabila dihulurkan (borang), saya tandatangan seorang demi seorang dan tiba giliran pelajar ketiga, saya lihat nama bapanya ialah Hassan.

“Saya pun tanya ini anak Hassan yang mana dan pelajar itu jawab ayahnya adalah calon PAS (Hassan Karim) yang lawan saya PRU13…saya kata tidak mengapalah, saya segera menandatanganinya,” katanya.

Sabri menegaskan tiada istilah pilih kasih ketika berkhidmat di kawasan dan ini sekali gus menafikan tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa ADUN BN bersikap pilih bulu. — Bernama