Sarawak kini di ambang juara

0

SENGIT: Pemain Johor Mohd Khairul Nizam menanduk bola sambil dicabar oleh Junior Eldstal pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang kelmarin. Sarawak menang 2-1. — Gambar Bernama

KUCHING: Sarawak hanya selangkah untuk dinobatkan juara Liga Perdana edisi 2013 setelah mengejutkan Johor 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang kelmarin.

Dua gol dari penyerang prolifik Muamer Salibasic dan Bobby Gonzales di babak per­tama memastikan Ngap Sayot pulang tersenyum dengan tiga mata berharga untuk terus gah di puncak liga.

Biarpun bertarung dalam keadaan jerebu, ia tidak menggugat keghairahan Sarawak memburu keme­nangan apabila Muamer membuka jaringan seawal minit keempat.

Penyerang dari Bosnia itu meluru pantas ke dalam petak penalti untuk menanduk mas­uk bola hantaran tinggi Ron­ny Harun bagi memastikan Sarawak mendahului 1-0.

Johor yang turut mengintai slot ke Liga Super pada ta­hun depan enggan menyerah kalah terlalu awal dan mula melancarkan beberapa seran­gan berbahaya biarpun tanpa bantuan penjaring terbanyak mereka Juan Muriel Orlando yang cedera.

Pada minit ke-14, Mohd Hairul Nizam Hanif menggembirakan penyokong tuan rumah setelah menguis masuk sepakan percuma Mohd Faizal Mansor.

Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, Sarawak men­ingkatkan tekanan dan mula mendominasi perlawanan.

Muamer hampir menjaring­kan gol kedua namun ledakan kaki kirinya ditampan oleh pertahanan Johor pada minit ke-37.

Sarawak mendahului 2-1 setelah Bobby menanduk can­tik bola sepakan percuma Guy Bwele pada masa kecederaan di babak pertama.

Penyerang dari Sabah itu hampir menambah koleksi golnya pada minit ke-48 di babak kedua namun sepakan­nya meliar biarpun pintu gol Johor sudah ternganga.

Sarawak terus menekan tuan rumah menerusi rem­batan Muamer yang sekadar menerjah tiang gol pada minit ke-64.

Kedua-dua pasukan terus rancak melancar serangan untuk menambah jaringan namun kekebalan barisan per­tahanan memastikan kepu­tusan itu kekal hingga wisel penamat.

Ketua Jurulatih Robert Alberts gembira dengan ke­menangan tersebut sambil memuji semangat juang serta komitmen yang ditunjukkan oleh para pemain.

“Tahniah kepada semua pe­main kerana mempamerkan permainan yang cukup me­narik dan berkualiti biarpun berdepan dengan lawan yang cukup hebat.

“Apa yang penting, kita berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dan semakin menghampiri kejuaraan. Ia satu pencapaian yang cukup membanggakan semua,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, jentera serangan memainkan peranan dengan efektif terutama Muamer Sali­basic yang disifatkannya be­rada dalam kelas tersendiri.

Alberts bagaimanapun mahu pemain terus fokus untuk menghadapi dua lagi baki perlawanan bagi mereal­isasikan impian bergelar johan dan melakar sejarah menjadi pasukan tidak terkalah.

Sarawak akan dinobatkan juara Liga Perdana jika ber­jaya menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Negeri malam esok.

Mereka juga akan melakar sejarah sebagai pasukan tidak terkalah dalam saingan liga jika berjaya mencatat keme­nangan atau seri dengan Sabah pada 5 Julai depan.