26 pesakit bibir sumbing dan lelangit merekah jalani pembedahan

0

PRIHATIN: Dr Philip (enam kanan), Dr Kim (tujuh kanan) mendukung pesakit sambil bergambar bersama penyumbang Kempen Bibir Sumbing dan Lelangit Merekah Ke-13 semasa penyampaian cek di Hospital Columbia Asia Miri semalam. Kelihatan sama pesakit dan penjaga, kakitangan Columbia dan jawatankuasa kempen.

MIRI: Seramai 26 pesakit bibir sumbing dan lelangit merekah menjalani pembedahan dalam Kempen Bibir Sumbing dan Lelangit Merekah Ke-13 anjuran Persatuan Klef Bibir dan Lelangit Malaysia (CLAPAM) dan Hospital Columbia Asia, Miri mulai semalam.

Pengerusi kempen, Dr Philip Raja berkata, kempen kali ini berjaya mengumpul RM107,750.58 dana hasil sumbangan syarikat swasta dan orang perseorangan.

“Jawatankuasa kempen berterima kasih atas sumbangan dan sokongan berterusan daripada semua pihak untuk menjayakan kempen ini.

“Tanpa sokongan semua pihak termasuk media, sukar untuk kami melaksanakan kempen ini sehingga ke hari ini,” katanya dalam ucapan ringkas semasa Majlis Penyampaian Cek di Hospital Columbia Asia, Miri semalam.

Dr Philip menambah, sumbangan itu amat bermakna untuk membawa senyuman dan keceriaan kepada pesakit khususnya yang tidak mampu menjalani pembedahan sebelum ini.

Sejak dilancarkan pada 2004, kempen itu berjaya memberi manfaat  kepada seramai 280 pesakit bibir sumbing dan lelangit merekah di Miri.

Sementara itu, pembedahan tersebut dikendalikan oleh pakar bedah kosmetik, plastik dan rekonstruktif Dr Kim K Tan daripada Pantai Hospital Kuala Lumpur.

Dr Kim gembira kerana semakin ramai pesakit daripada golongan kanak-kanak dan muda menyertai kempen itu yang diberikan secara percuma untuk keluarga yang kurang mampu.

“Saya mengggalakkan ibu bapa yang mempunyai anak-anak mengalami bibir sumbing dan bibir merekah agar melakukan pembedahan semasa anak-anak mereka kecil,” katanya.

Beliau berharap maklumat mengenai kempen itu dapat disebarkan kepada seluruh masyarakat khususnya penduduk di luar bandar agar mereka mendapat manfaat yang sama.

Penyumbang ialah Sarawak Shell Berhad yang menyumbang sebanyak RM40,000, Miri Marriott Resort and Spa melalui Projek Impian Pokok Krismas (RM6,000), komuniti ekspatriat iaitu pasangan Christopher J. Twyman dan Elizabeth A Twyman, Christopher C Kettle dan Elizabeth Kett dan Kelab Bot Piasau (RM28,385), Miri Marriott Resort and Spa dan Menteri Muda Perhubungan,Datuk Lee Kim Shin melalui Projek Impian Pokok Krismas (RM11,065.58), SMES (RM5,000), Rukun Tetangga Krokop Miri (RM5,000), Michael Lim dan rakan setugas (RM9,000), John Austin (RM6,000), Ben dan Wanja Arentz (RM4,500), Chang They Woon (RM500), Qashidi Ajmal Hamli (RM200) dan She Moon Boo (RM100).

Kempen Klef Bibir dan Lelangit Merekah ini diadakan selama seminggu mulai 24 hingga 30 Jun ini.

Untuk kempen kali ini, pesakit berdaftar untuk menjalani pembedahan pembetulan klef bibir dan lelangit terdiri daripada lapan bayi (empat lelaki dan empat perempuan), 12 kanak-kanak (enam lelaki dan enam perempuan) dan enam orang dewasa (tiga lelaki dan tiga wanita),” katanya sambil menambah pesakit berusia antara satu bulan dan 44 tahun.

Kebanyakan pesakit adalah dari Miri iaitu seramai 12 orang diikuti Bintulu, Belaga, Sarikei, Kuching dan Bintulu (masing-masing dua), Bakong, Brunei, Kapit, Sri Aman, Niah dan Balingian (masing-masing satu).

Projek tersebut dibiayai oleh CLAPAM dan dianjurkan dengan kerjasama Hospital Columbia Asia Miri yang bertanggungjawab menyediakan tempat untuk pembedahan dan bantuan sokongan yang lain.

Projek ini menyasarkan kanak-kanak atau pesakit luar bandar yang lahir dengan klef bibir dan lelangit merekah dan pendapatan seisi keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan.

Mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 boleh mendaftar dengan hospital untuk mendapatkan bantuan, manakala mereka yang tidak menepati kriteria juga dialu-alukan datang untuk mendapatkan khidmat nasihat di Hospital Columbia Asia Miri.

Keterangan lanjut sila hubungi Hospital Columbia Asia Miri di talian 085-437755.