Naim sumbang 3,000 layang-layang kepada BDA untuk Pesta Gudi 2013

0

SERAH: Chang (empat dari kiri) menyerahkan layang-layang tajaan mereka kepada Mohd Bohari mewakili BDA dalam acara penyerahan di Wisma Bintulu, petang semalam.

BINTULU: Naim Holdings Berhad (Naim) menyumbang sebanyak 3,000 helai layang-layang kepada Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) untuk diterbangkan pada Pesta Gudi 2013 yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini.

Menurut Penolong Pengurus Besar BDA Mohd Bohari Kipli, sekiranya 3,000 helai layang-layang itu nanti berjaya diterbangkan, ia akan memecah rekod dalam Pesta Gudi tahun sebelumnya yang hanya berjaya menerbangkan sebanyak 1, 655 unit layang-layang sahaja yang sudah dimasukkan dalam Malaysian Book of Records.

“Dalam pada itu, BDA turut mengagihkan 2,000 unit layang-layang kepada 2,000 pelajar sekolah manakala selebihnya lagi akan diagihkan kepada orang awam,” ujarnya semasa acara penyerahan 3,000 unit layang-layang daripada Naim  kepada BDA di Wisma BDA di sini semalam.

Beliau berkata sasaran utama dalam pesta berkenaan adalah tertumpu kepada kanak-kanak bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam acara yang diadakan nanti manakala 1, 000 lagi bakal diagihkan kepada mana-mana orang awam yang berminat mengambil bahagian dalam menerbangkan layang-layang itu nanti.

Jawatankuasa penganjur pada masa sama turut menyeru orang ramai di sekitar Bintulu yang ingin mengambil bahagian dalam pesta berkenaan agar mendapatkan borang penyertaan sebelum atau pada 30 Jun ini sebelum jam 2.30 petang.

Pesta Gudi yang pertama telah diadakan pada 2009 yang diadakan sempena Pesta Layang-layang Antrabangsa Borneo yang disertai masyarakat tempatan dan peserta asing.

Pengurus Projek Naim Holdings Chang Toh Choon antara yang hadir.