Penduduk Jalan Paip gembira jalan tanah merah, berturap sudah dibina

0

SRI AMAN: Penduduk yang tinggal di sekitar Jalan Paip melahirkan rasa gembira setelah beberapa batang jalan tanah merah dan berturap sudah dibina di kawasan itu.

Tinjauan Utusan Borneo di kawasan itu mendapati jalan tanah dan berturap di kawasan itu dilaksanakan menerusi Program Jalan Perhubungan Desa mendapat peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pada fasa pertama, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membangunkan projek jalan tanah bernilai RM400,000 sepanjang 1.7 kilometer bagi menghubungkan penduduk dari Rumah Jerry Lau dalam kawasan jalan terbabit.

Turut dibangunkan  kerajaan BN ialah projek pembinaan jalan tanah bernilai RM400,000 sepanjang 1.1 kilometer menuju ke Rumah Juan, Genting San yang sudah siap pada akhir tahun lalu.

Difahamkan bahawa syarikat CMS telah  membina jalan raya berturap sepanjang 2.5 kilometer bernilai RM1.2 juta bagi memberi kseselesaan kepada penduduk 10 rumah panjang di situ pada awal tahun ini.

Morgan Alban dari Nyakai, Sri Aman berkata perjalanan menuju ke Loji Perawatan Air Bayai, Sri Aman semakin selesa setelah kerajaan BN  melakukan kerja menaik taraf jalan raya di kawasan tersebut.

Ia sekali gus memberi manfaat kepada 2,000  penduduk yang tinggal di kawasan Jalan Paip, Sri Aman untuk bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi lain, ujarnya.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi perhatian serius terhadap keperluan pengangkutan dan perhubungan penduduk di kawasan Jalan Paip, Sri Aman,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak projek pembangunan di kawasan Jalan Paip seperti kemudahan jalur lebar demi kesenangan penduduk di kawasan itu pada masa akan datang.