Penduduk Kampung Gerigat terpaksa meniti titian usang

0

TIDAK SELAMAT: Beginilah keadaan titian kayu di Kampung Gerigat yang telah usang dan berisiko tinggi untuk digunakan.

GERIGAT: Berbahaya dan mendatangkan pelbagai masalah. Itulah keluahan penduduk Kampung Gerigat, yang mahukan titian kayu yang menjadi nadi penghubung utama mereka untuk bergerak dari sebuah rumah ke sebuah rumah diperbaiki.

Penduduk, Jabidi Jaafar, 36, berkata titian kayu di kampung berkenaan sudah terlalu usang dan perlukan usaha untuk menaik taraf atau pembinaan semula.

“Jika kita melihat beberapa struktur binaan titian ini, kebanyakannya sudah reput dan patah-patah. Keadaan ini amat membahayakan penduduk yang menggunakan laluan ini.

“Pernah berlaku beberapa kemalangan kecil kepada pengguna yang menggunakan titian ini, di mana penggunanya telah terjatuh.

“Malah kejadian yang serupa pernah berlaku kepada diri saya sendiri, namun saya bersyukur ia tidak mendatangkan masalah dan kecederaan yang teruk kepada saya,” kata Jabidi ketika ditemui pemberita, semalam.

Pada dasarnya, titian tersebut adalah sumbangan kerajaan dan ia merupakan satu-satunya jalan untuk para penduduk yang tinggal di bahagian tebing sungai di kampung terbabit untuk bergerak dari satu rumah ke satu rumah lain.

Kerosakan titian tersebut telah mendedahkan penduduk kampung kepada risiko kemalangan, tetapi apakan daya kerana mereka tiada pilihan, terpaksa juga melaluinya.

Struktur titian tersebut pada dasarnya, diperbuat daripada kayu yang tahan lama, tetapi keadaan tebing sungai yang sentiasa berubah akibat air pasang dan surut, turut mempengaruhi struktur binaannya.

Tambahnya, penduduk sudah berusaha beberapa kali memperbaiki kerosakan itu tetapi disebabkan kerosakan kali ini amat teruk ia menyebabkan penduduk tidak mampu menampung kos pembinaan dan baik pulihnya.

“Bagi kami yang bekerja sebagai nelayan pantai dengan pendapatan yang tidak menentu, usaha melaksanakan kerja tersebut adalah satu beban walaupun kami sedar kemudahan tersebut amat diperlukan.

“Oleh yang demikian kami memohon kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap kemudahan berkenaan agar membantu kami menyelesaikan masalah ini,” tegas Jabidi.

Sementara itu seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 40-an, berkata masalah itu pernah dibangkitkan pada mesyuarat kampung dan dimohon untuk diketengahkan kepada pihak berkaitan.

“Namun sehingga kini ia belum lagi menampakkan jawapan positif. Kami membangkitkan masalah ini untuk pengetahuan umum, bukannya untuk mengenakan sesiapa,  ia juga  keluhan kami selaku penduduk kampung yang berhadapan dengan masalah ini setiap hari.

“Masalah ini begitu membelenggu penduduk, terutama kepada pelajar sekolah yang sering berulang-alik menggunakan laluan ini.

“Selain itu ia turut mendatangkan kesulitan kepada penduduk yang membawa barangan yang berat dan besar sewaktu melalui titian ini,” jelas Mat.

Menurutnya penduduk kampung berharap pihak yang bertanggungjawab dan kerajaan amnya, dapat memikirkan usaha sewajarnya untuk membantu penduduk menyelesaikan masalah berkenaan.