Interhill mula kempen ‘Buta Huruf Sifar’

0

MIRI: Kumpulan Syarikat Interhill melalui Projek Selepas Sekolahnya kini memulakan kempen ‘Buta Huruf Sifar’ di kalangan kanak-kanak di bawah projek berkenaan.

Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan Interhill, Agnes Nyelang memberitahu pihaknya menggalakkan orang ramai menderma dan menyumbangkan buku-buku untuk kanak-kanak selama dua bulan bermula 26 Jun hingga 26 Ogos.

“Selain memberikan peluang kepada orang awam menjadi mentor anak-anak dalam program sebelum ini, kita turut menggalakkan orang awam mendermakan buku-buku untuk mempromosikan buta huruf sifar di kalangan anak-anak berkenaan,” katanya di sini semalam.

Projek berkenaan membantu kanak-kanak berusia 7 hingga 18 tahun dari Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak Cawangan Miri, Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup dan Rumah Amal Anak Kesayangan Kami Miri dan Methodist Children Home.

Agnes memberitahu, untuk memudahkan orang ramai menderma buku-buku, pihaknya menyediakan kotak khas di lobi Bangunan Wisma Interhill, Pusat Komersil Waterfront.

Sekiranya penderma memerlukan pertolongan membawa buku-buku dengan jumlah yang banyak, mereka boleh menghubungi pusat di talian 085-412318 atau e-melkan ke [email protected].

Penderma haruslah memberikan nama, alamat pusat pengumpulan buku, nombor telefon, alamat e-mel dan sedikit latar belakang buku yang hendak diderma.

Projek Selepas Sekolah adalah satu bantuan dalam bentuk sukarelawan yang memberikan pendidikan percuma kepada kanak-kanak kurang bernasib baik.

Projek itu adalah di bawah Kelab Pekerja Interhill (IEC) yang turut dijayakan oleh Kumpulan Syarikat Interhill dan didorong oleh inisiatif membekalkan pembelajaran anak-anak yatim yang serba kekurangan dalam latar belakang pendidikan.

Anak-anak yatim juga didapati mempunyai kekangan ke perpustakaan dan juga kekangan untuk ke kawasan-kawasan selain rumah penjagaan mendapatkan ilmu setelah tamat waktu persekolahan.

Sesiapa yang berminat menjadi mentor sukarelawan boleh melayari www.after-school project.com atau terus ke kaunter Pasukan Keselamatan di Wisma Interhill Miri untuk mendapatkan borang.