Kepingan emas tunggu johan qari, qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa

0

PUTRAJAYA: Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQA) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra dari 29 Jun hingga 6 Julai ini, menawarkan hadiah kepingan emas seberat 350 gram kepada johan qari dan qariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata selain kepingan emas bernilai RM70,000 itu, pemenang juga akan menerima wang tunai RM40,000, piala iringan, cenderamata serta sijil penyertaan.

“Kita telah menerima pengesahan seramai 72 peserta yang diwakili 42 qari dan 30 qariah dari 42 negara. Namun hanya 56 peserta akan memperdengarkan bacaan sepanjang lapan hari tilawah,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Logo dan Setem sempena MTQA, di sini semalam.

Beliau berkata Malaysia akan diwakili johan qari dan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan baru-baru ini iaitu Anuar Hasin dari Perak dan Hanimzah Jalaluddin dari Pahang.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V berkenan untuk berangkat merasmikan pembukaan tilawah itu yang dijangka turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, katanya.

“Majlis penutup dan penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah pada jam 8.45 malam, 6 Julai,” katanya.

Terdahulu Jamil Khir berkata logo yang dilancarkan sempena 55 tahun MTQA itu akan diguna secara rasmi untuk MTQA yang dianjurkan selepas ini.

“Sempena 55 tahun MTQA juga Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) turut menerbitkan 500 set setem korporat untuk diberikan kepada orang ramai yang boleh mendapatkannya di gerai Jakim sepanjang MTQA berlangsung,” katanya. — Bernama