Sarawak jadi lokasi penggambaran filem epik ‘White Rajah’

0

KUCHING: Sarawak dipilih sebagai lokasi penggambaran filem epik ‘White Rajah’ oleh penerbit filem terkemuka Amerika Syarikat (AS) yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun depan dengan anggaran bajet AS$15 juta.

Bakal dibintangi pelakon terkemuka Hollywood, filem ‘White Rajah; yang dijadual ditayangkan pada tahun 2015 bakal muncul sebagai filem ba­jet epik berprofil tinggi pernah dibuat di Sarawak.

Penerbitnya Rob Allyn ber­kata, Margate House Film bekerjasama dengan Brooke Trust yang akan berkhidmat se­bagai penasihat teknikal filem, menyediakan nasihat mengenai kandungan sejarah serta rekaan bangunan untuk dibangunkan semula bagi filem itu.

Malah, katanya, Margate House Film dan Brooke Trust sedang menyiapkan replika kapal Royalist yang digunakan oleh James Brooke untuk ber­layar ke Sarawak lewat tahun 1830-an untuk digunakan dalam filem berkenaan.

“Kami menghargai sokon­gan ahli keluarga Brooke dan sambutan baik Kementerian Pelancongan Sarawak bagi penggambaran filem epik ini.

“Filem yang menceritakan kisah James Brooke yang tertawan dengan kecantikan, hidupan liar dan keindahan budaya pelbagai kaum di Sarawak, merupakan satu kisah agung yang belum pernah diceritakan untuk difilemkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika kunjungan dan taklimat mengenai peng­gambaran filem tersebut ber­sama Menteri Pelancongan dan Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di Tingkat 7, Bangunan Baitul­makmur di sini, semalam.

Turut hadir Jason Brooke, cucu kepada Rajah Muda Anthony Brooke serta pener­bit bersama Jake Allyn yang juga merupakan anak kepada Rob Allyn, selaku Pengerusi Margate House Film.

Tambah Allyn, dengan nasi­hat teknikal daripada Brooke Trust dan bantuan daripada Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri, pihaknya merancang untuk menghasil­kan filem epik tradisi yang bercorak aksi, romantik dan pengembaraan seperti ‘Gladi­ator’ dan ‘Braveheart.’

“Brooke Trust teruja den­gan pendekatan kreatif, sen­sitiviti kepada budaya dan sejarah Sarawak, kualiti skrip yang didemonstrasikan oleh Allyn dan Margate House Film,” kata Jason Brooke.

“Kami berkunjung ke Sarawak dengan harapan penggambaran filem ini dapat dilakukan di sini yang mana akan memberi impak baik kepada pelancongan, ekonomi dan serta imej Sarawak send­iri,” tambah Jason Brooke.

Dalam pada itu, Allyn difa­hamkan telah berkunjung ke Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Johor dan fasiliti-fasiliti di Australia, Singapura, Pulau Batam, Indonesia dan Thailand.

Hasil daripada kunjungan tersebut Allyn tidak me­nafikan terdapat banyak pan­tai, hutan, sungai, hidupan liar dan kemudahan pelancongan yang hebat.

Tetapi, katanya, adalah men­jadi impian pembuat filem un­tuk melakukan penggambaran filem di lokasi di mana cerita tersebut benar-benar berlaku.

Atas sebab itu, Allyn dan Margate House Film men­yahut jemputan keluarga Brooke dan kerajaan negeri untuk menjayakan filem ini di Sarawak lokasi kemuncu­lan sebenar sejarah ‘White Rajah.’