Hidup perlu diteruskan

0

SABAR: Rosnani bersama seorang cucunya, Nur Putri Helen Shah di dalam kenderaan menunggu masa untuk berpindah ke Rantau Panjang.

SIBU: Sedih dan pasrah, namun hidup perlu diteruskan bagi mangsa kebakaran Kampung Datu dan Kampung Hilir.

Semalam, suasana pilu menyelubungi pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) LAKIS di sini apabila keluarga-keluarga mangsa kebakaran mengucapkan selamat tinggal kepada kampung Melayu tradisi yang telah didiami oleh mereka sejak puluhan tahun lalu.

Dua puluh keluarga mangsa kebakaran berpindah ke Sibu Jaya dan menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, lapan lagi keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara itu berpindah ke Rantau Ranjang.

“Manakala bagi keluarga yang tinggal bersama saudara-mara, mereka akan berpindah pada 6 Julai ini.

“Sebanyak 43 keluarga akan berpindah ke Sibu Jaya dan tujuh lagi ke Rantau Panjang,” ujarnya ketika ditemui menyaksikan perpindahan keluar mangsa dari SK LAKIS, semalam.

Biarpun sedih, mangsa yang berpindah menyuarakan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan yang telah membantu menyediakan tempat tinggal sementara selepas tragedi itu.

Seorang mangsa, Mawar Uthman, melahirkan rasa sedih untuk berpindah ke Sibu Jaya selepas sekian lama tinggal di Kampung Datu.

“Namun, kita terpaksa menerima keadaan. Kita terpaksa berpindah kerana ini untuk kebaikan semua mangsa,” ujarnya ketika ditemui.

Menurut Mawar lagi, dengan berpindah ke Sibu Jaya juga akan membolehkan mereka memulakan hidup baharu dalam persekitaran yang lebih selesa.

Perpindahan mangsa kebakaran Kampung Datu dan Kampung Hilir semalam ke Sibu Jaya dan Rantau Panjang dibantu oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan anggota tentera.

Bagi Suraya Daud, kediaman sementara di Sibu Jaya yang disediakan oleh kerajaan amat bermakna kepada mereka sekeluarga untuk mendapat kediaman yang lebih baik.

“Tanpa tempat tinggal yang se-lesa, sukar untuk kami sekelurga memulakan kehidupan baharu se-telah menghadapi kesukaran serta kelihangan semua harta benda,” jelasnya.

Ibu berusia 48 tahun serta terkenal dengan ais cendolnya itu memberitahu, dengan bantuan yang diberikan kerajaan, masa depan mereka kini lebih cerah.

Dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri lebih sebulan lagi, Suraya berkata beliau tidak mungkin dapat melupakan suasana dan kemeriahan menyambut Raya di kampung terbabit.

Seorang remaja, Faridah Osman, 19, pula berterima kasih kepada kerajaan yang turut menyediakan pengangkutan percuma kepada mereka untuk turun bekerja dari Sibu Jaya.

Tanpa kemudahan terbabit, katanya, sukar baginya untuk bekerja di bandar Sibu, lebih-lebih ia melibatkan perbelanjaan tambang yang agak tinggi.

Seorang lagi mangsa, Rosnani Kadi yang berpindah ke Rantau Panjang pula memberitahu, tanpa bantuan kerajaan, sukar untuk mereka mencari tempat tinggal baharu.

“Kita amat bersyukur mempunyai kerajaan yang amat prihatin kepada kebajikan rakyat serta masyarakat yang menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada kita selama ini.

“Terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada kami. Semua ini sedikit sebanyak membolehkan kami melupakan seketika apa yang telah berlaku,” jelas Rosnani.

Kampung Datu, salah satu kampung Melayu tertua di Sibu, diibaratkan padang jarak padang tekukur apabila hampir 90 peratus daripada kediamannya musnah dalam kebakaran terburuk dalam sejarah pada 19 Jun lalu.

Kebakaran turut meranapkan beberapa buah rumah di Kampung Hilir.

Tragedi itu menyebabkan 60 buah rumah musnah, merangkumi 144 keluarga dengan 597 penduduk tinggal sehelai sepinggang.