Penghulu bekerjasama dengan pembangkang jika ia memberi manfaat kepada penduduk

0

MIRI: Meskipun bandar raya kuda laut telah ditawan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), namun tanggungjawab sebagai penghulu akan tetap dilaksanakan dengan sebaiknya.

Penghulu bagi kawasan Piasau 1, Piasau 5 dan Piasau Utara yang baharu dilantik, Samion Ghani berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pembangkang jika ia memberi manfaat kepada penduduk.

“Kita adalah wakil kerajaan dan tidak pernah pilih kasih dalam membangunkan satu-satu kawasan, meskipun ia memerlukan kerjasama semua pihak terutama daripada pihak pembangkang,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, sekiranya wakil rakyat pembangkang memerlukan maklumat untuk memberi bantuan dan sebagainya, maka ia adalah tanggungjawab penghulu untuk menyampaikan maklumat terbabit.

“Kita tidak perlu takut untuk bekerjasama dengan pembangkang, jika ia memberi manfaat kepada penduduk atau sekiranya penduduk memerlukan perkhidmatan mereka,” katanya.

Beliau memberitahu, tugas dan amanat sebagai penghulu memerlukan komitmen dan dedikasi yang tinggi kerana ia adalah tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh seorang perantara kerajaan.

“Saya berterima kasih dengan kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan sebagai penghulu dan tanggungjawab ini akan saya pikul dengan sebaiknya,” ujarnya.

Samion menjelaskan, penghulu atau ketua masyarakat merupakan telinga dan mata kerajaan dan menjadi perantaraan penting dalam menyalurkan masalah penduduk untuk perhatian kerajaan.

“Kerajaan memberi kepercayaan kepada individu yang benar-benar cemerlang bagi memegang jawatan sebagai ketua kaum atau penghulu berdasarkan perkhidmatan mereka sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya akan mengekalkan momentum itu dan menjalankan perkhidmatan dengan baik bagi memastikan kebajikan masyarakat di bawah bidang kuasa saya sentiasa terjaga dan terbela,” tegasnya.

Beliau menyarankan supaya masyarakat setempat bekerjasama rapat dengan penghulu atau pemimpin masyarakat supaya masalah yang berlaku di sekeliling mereka dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya berharap masyarakat setempat boleh bekerjasama dengan saya bagi memastikan apa jua agenda kerajaan sampai ke peringkat akar umbi atau masalah rakyat sampai ke tangan kerajaan,” katanya.