Dua suspek cedera ditembak selepas cuba langgar polis

0

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang disyaki anggota kumpulan samun, cedera ditembak selepas kereta yang mereka naiki cuba melanggar anggota polis di Kampung Durian Guling, Marang Sabtu lepas.

Mereka adalah antara tiga lelaki berusia antara 30 dan 48 tahun yang ditahan polis kerana disyaki aktif melakukan samun di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata empat anggota polis yang membuat rondaan terserempak dengan kereta Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan pada jam 4.45 pagi.

“Menyedari kereta mereka diekori, suspek bertindak membuat pusingan ‘U’ dan anggota polis memberikan isyarat supaya memberhentikan kenderaan namun suspek enggan dan cuba melanggar anggota polis.

“Namun anggota kami berjaya mengelak dan polis mengejar suspek sejauh tiga kilometer. Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan sebelum memberkas ketiga-tiga suspek itu,” katanya pada sidang akhbar yang di sini semalam.

Beliau berkata tembakan itu menembusi kereta yang dinaiki suspek dan terkena pinggang dan lutut dua daripada tiga lelaki terbabit. Mereka kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Hamzah berkata polis menemui beberapa peralatan seperti parang, golok, cangkul, pemotong besi, sabit dan alat menghisap dadah dalam kereta Proton Waja yang dinaiki tiga lelaki terbabit.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu adalah rakyat tempatan dan mempunyai rekod jenayah berkaitan penyalahgunaan dadah dan kes jenayah.

“Kami percaya dengan tertangkapnya suspek, polis dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah yang dilapor di negeri ini,” katanya. — Bernama