Hargai k’jaan atas kemajuan, kemakmuran dikecapi

0

NGILING TIKAI: (Dari kiri) Abdul Wahap, John Sikie, Wong dan James Chan melakukan upacara ‘ngiling tikar‘ sebagai simbolik penutupan Hari Gawai di Lobi MBKS di Kuching semalam. — Gambar Tan Song Wei

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat Dato Sri Wong Soon Koh mengingatkan rakyat berbilang kaum di negeri ini agar menghargai kerajaan sedia ada atas kemajuan dan kemakmuran yang dikecapi pada hari ini.

Berucap pada Majlis Ngiling Tikai Bersama Komuniti di Lobi Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini semalam, Wong berkata rakyat akan terus hidup dalam suasana yang aman dan harmoni di bawah kepimpinan kerajaan sedia ada.

“Sebab itu kerajaan mewujudkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat untuk membolehkan semua masyarakat bersama-sama dalam sebuah negeri dan negara amnya dengan semangat 1Malaysia,” katanya.

Wong pada majlis itu turut menggesa masyarakat, memikirkan apa yang telah dikecapi pada masa lalu dan terus melangkah ke depan untuk masa depan yang lebih cemerlang dan terbilang.

“Usaha kerajaan untuk mewujudkan suasana kehidupan yang kondusif dan sejahtera terutama di bandar-bandar utama seperti bandar raya ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.

“Pihak berkuasa tempatan seperti MBKS dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sememangnya tidak pernah putus-putus untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Tetapi tanpa sokongan dan kerjasama daripada semua pihak termasuk sektor awam dan swasta usaha-usaha ini tidak mungkin akan dapat dicapai,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKS Datuk James Chan dalam ucapannya berkata majlis tersebut merupakan satu cara untuk pihak majlis merapatkan hubungan antara kakitangan dan masyarakat tempatan yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum.

Jelasnya, sambutan perayaan Hari Gawai serupa dengan perayaan-perayaan lain seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya dan sebagainya yang menekankan nilai hormat menghormati antara satu sama lain.

“Satu daripada peranan efektif MBKS adalah untuk mengeratkan hubungan antara komuniti serta menghidupkan suasana kehidupan yang harmoni.

“Hari ini, Majlis Ngiling Tikai Bersama Komuniti yang dianjurkan ini merupakan landasan terbaik untuk memperkukuhkan semangat kerjasama dan kejiranan antara komuniti berbilang kaum, agama dan keturunan,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datuk John Sikie Tayai, Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, pemimpin dan ketua-ketua masyarakat, komuniti MBKS dan lain-lain.