Langkah lebih efektif untuk perangi jenayah

0

Penubuhan IPD Padawan pastikan sistem penyampaian lebih efektif kepada orang awam

KUCHING: Pengwujudan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) baharu di Padawan akan memastikan usaha memerangi jenayah akan dilaksana secara lebih efektif.

Enam balai polis akan ber-ada di bawah bidang kuasa IPD Padawan termasuk Balai Polis Batu Kawa, Balai Polis Kota Sentosa, Balai Polis Batu 10, Balai Polis Siburan, Balai Polis Beratok dan Balai Polis Tapah.

Superintenden Pauzi Bujang yang merupakan bekas Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching akan dipertanggungjawabkan sebagai KPD Padawan sambil dibantu DSP Yap Fui Lee sebagai timbalannya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak SAC Datuk Law Hong Soon berkata, penubuhan IPD Padawan adalah untuk memastikan sistem penyampaian lebih efektif kepada orang awam.

“Masyarakat umum tidak perlu bimbang dengan pertambahan IPD baharu ini. Pengasingan IPD adalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat umum,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.

Menurutnya, pertambahan IPD itu juga tidak akan memberi kesan kepada anggota yang akan menjalankan tugas.

“Tidak bermakna penduduk di Padawan tidak boleh membuat laporan di Kuching.

“Orang ramai boleh membuat laporan sama ada di IPD Padawan atau Kuching dan siasatan tetap dijalankan,” ujarnya.

IPD Padawan mempunyai 53 pegawai, 445 konstabel dan 51 kakitangan untuk mengawal kawasan seluas 1,431.82 kilometer persegi dengan populasi 306,000 penduduk.

“Saya yakin KPD baharu dapat melaksanakan tugas dengan baik dalam memantau situasi jenayah di kawasan Padawan,” jelasnya.

Sementara itu, Pauzi menggesa orang ramai supaya bekerjasama dengan polis terutama dari segi penyaluran maklumat dalam usaha menyelesaikan kes jenayah.

“Tiada perubahan walaupun dilantik sebagai KPD. Saya akan meneruskan tugas untuk memerangi jenayah,” kata Pauzi.

IPD Padawan terletak di Batu 29 Jalan Kuching-Serian dan untuk sebarang maklumat sila hubungi 082-864121 atau 846122.