Warga emas maut dirempuh

0

 Kenderaan pacuan empat roda terus menghilang

PUTATAN: Seorang warga emas maut manakala dua lagi cedera parah dalam satu kejadian kemalangan membabitkan dua buah kenderaan termasuk sebuah motosikal di jalan Kota Kinabalu-Papar, berhampiran Kampung Dumpil di sini kelmarin.

Mangsa yang juga merupakan pejalan kaki dikenali sebagai Osman Jailani, 82, dari Kampung Dumpil mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala itu telah meninggal dunia sejurus dikejarkan ke hospital setelah dirempuh oleh sebuah pacuan empat roda pada insiden sekitar jam 6 petang berkenaan.

Difahamkan ketika kejadian, pacuan empat roda terbabit sedang menuju ke Pekan Kinarut dari pusat bandar sebelum merempuh mangsa yang sedang melintas jalan di situ.

Bagaimanapun sebaik kemalangan itu berlaku, dipercayai pemandu pacuan empat roda terbabit bertindak melarikan diri daripada tempat kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian yang sama sebuah motosikal yang berada di belakang pacuan empat roda terbabit turut terbabas di atas jalan raya kerana mengelak mangsa yang sedang terbaring di atas jalan.

Ketiga-tiga mangsa yang terbabit kemalangan itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menerima rawatan.

Osman bagaimanapun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 malam sementara dua lagi mangsa yang menaiki motosikal berkenaan kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh berkata pihaknya telah melakukan siasatan dan masih berusaha mengesan pemandu pacuan empat roda berkenaan.

“Kita meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil memberikan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.