Gegaran dirasai di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka

0

KUALA LUMPUR: Gegaran dirasai di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Melaka berikutan satu gempa bumi bermagnitud 6.1 pada skala Richter di Sumatera Utara, Indonesia pada jam 3.37 petang semalam.

Jabatan Meterologi dalam satu kenyataan berkata gempa itu berpusat di 65km Barat Daya dari Lhokseumawe, Indonesia dan 385 kilometer Barat Daya dari Balik Pulau, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami dikesan.

Di Pulau Pinang, lebih 100 orang yang berada di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) keluar dari bangunan itu setelah merasai gegaran bangunan setinggi 65 tingkat itu.

Seorang saksi, Nurul Amarlina Mohamad Adam Yap, 25, berkata beliau terasa pening selama beberapa minit dan tidak menyangka ia adalah kerana gegaran bumi.

“Saya ingat saya yang pe-ning, kemudiannya ramai yang terasa juga dan baharu kami sedar berlaku gempa bumi,” katanya di sini.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba Jalan Perak ketika dihubungi berkata pihaknya menerima banyak panggilan mengenai gegaran itu dan mengesahkan ianya adalah akibat gempa bumi di Sumatera Utara.

“Bagaimanapun tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku dan setakat ini bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan,” kata beliau. — Bernama